Khamis, 7 Oktober 2010

Bekas pembantu Anwar dakwa dipaksa tandatangan akuan sumpah kaitkan PM, Rosmah



Rahimi Osman (dua dari kanan) ketika muncul pada sidang media di Klang hari ini. – Gambar oleh Choo Choy May
KLANG - Seorang bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rahimi Osman hari ini, dalam perkembangan mengejutkan, mendakwa beliau telah dipaksa mengaitkan Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah dalam kes liwat kedua dihadapi Ketua Umum Pakatan Rakyat itu dengan menandatangani dua akuan bersumpah.

Rahimi berkata beliau telah dipaksa menandatangani akuan bersumpah pada 28 Jun 2008 yang mendakwa Najib dan Rosmah mendalangi konspirasi terhadap Anwar dalam kes liwat melibatkan bekas pembantu Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Saiful mendakwa dia diliwat Anwar beberapa hari sebelum itu dan kes itu sedang berlangsung.

Sekumpulan ahli PKR menyerbu lokasi sidang media itu sebelum Rahimi bertemu pemberita dengan menggesa beliau agar menghentikan sidang media tersebut.

Bagaimanapun satu salinan laporan polis dibuat Rahimi kira-kira 3.03 petang tadi diperoleh oleh The Malaysian Insider.

Dalam laporan itu, Rahimi mendakwa beliau telah dipaksa menandatangani dua akuan bersumpah oleh Ketua Penerangan PKR Latheefa Koya dan juga beberapa anggota parti di Quality Hotel akhir Jun 2008.

“Saya dipaksa menandatangani dua akuan bersumpah pada Jun 2008 mengenai Anwar dan Saiful.

“Deklarasi itu tidak benar kerana bukan saya yang menulis.

“Saya dipaksa untuk menandatangani, kerana saya bimbang dengan keselamatan saya... ketika itu ada beratus penyokong Anwar dan orang-orang kanannya di sekitar Quality Hotel,” kata Rahimi.

Malah menurut pembantu itu beliau juga dipaksa tinggal di sebuah bilik hotel berkenaan selepas menandatangani akuan bersumpah.

Laporan polis hari ini juga menyebut bahawa Rahimi ada membuat satu akuan bersumpah yang baru.

“Kandungan akuan bersumpah sebelum ini tidak benar... jadi saya membuat akuan bersumpah baru.

“Saya mahukan perlindungan saksi daripada polis. Saya khuatir akan keselamatan diri saya dan keluarga saya,” katanya lagi.

Malah dalam laporan polis itu, Rahimi mendakwa Latheefa juga adalah berusaha untuk menghubungi agar menyediakan akuan bersumpah yang baru memandangkan yang sebelum ini sudah hilang.

The Malaysian Insider difahamkan Rahimi merancang untuk mengadakan satu lagi sidang media setelah yang dijadualkan hari ini gagal selepas diganggu oleh ahli-ahli PKR, diketuai oleh calon jawatan naib presiden Suresh Kumar.

Anwar sedang dalam perbicaraan terhadap dakwaan meliwat Mohd Saiful di Unit 11-5-1, Kondomonium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur, antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Tiada ulasan: