Ahad, 7 Mac 2010

Subsidi petroleum ke Kabinet

PEKAN - Kerajaan akan membentangkan semula cadangan baru mengenai penstrukturan subsidi petroleum kepada Kabinet dalam tempoh sebulan dua ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut beliau, satu mekanisme akan dikemukakan hasil kajian bersama Makmal Merasionalisasikan Subsidi bagi mencari penyelesaian pelaksanaan penyaluran subsidi yang turut melibatkan bahan makanan dan infrastruktur lain.

''Saya akan kemukakan cadangan tersebut kepada Kabinet dalam tempoh sebulan dua ini berhubung kaedah sesuai dalam mengekang pembelian petroleum bersubsidi oleh rakyat asing.

''Bagi kita, cadangan tersebut telah siap dan akan diedarkan kepada kementerian lain sebelum dibawa ke Kabinet," katanya kepada pemberita selepas merasmikan stesen minyak mini Koperasi Peserta-Peserta Felcra Gugusan Sri Makmur Berhad di sini hari ini.

Khamis lalu, kerajaan membatalkan rancangan pelaksanaan penstrukturan semula sistem subsidi petroleum dan mengekalkan sistem subsidi petrol yang sedia ada ekoran mendapat maklum balas negatif daripada rakyat.

Ismail Sabri memberitahu, pihaknya juga akan mengemukakan cadangan kepada Kabinet supaya menarik balik pembekuan lesen stesen minyak mini yang dikuatkuasakan pada 2007.

''Ekoran penyelewengan yang berlaku di stesen-stesen minyak mini, ia mendorong kerajaan membekukan lesen berkenaan.

''Bagaimanapun, permintaan yang tinggi terhadap keperluan bahan petroleum di luar bandar menjadi sebab utama bilangan stesen minyak mini perlu ditambah," jelasnya.

Tambahnya, beberapa syarat baru akan dikemukakan seperti stesen minyak mini tidak dibenarkan dibuka di kawasan 50 kilometer dari sempadan negara.

''Setakat ini, terdapat sebanyak 132 permohonan untuk membuka stesen minyak mini yang baru terutama di kawasan pedalaman," ujarnya.

Pada masa ini, menurutnya, terdapat kira-kira 330 stesen minyak mini di seluruh negara.

Tiada ulasan: