Oleh RAHANA MOHD. DAHARI
PASIR MAS - Program khidmat komuniti yang merupakan salah satu modul di dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) gagal mencapai matlamatnya kerana tidak mendapat kerjasama masyarakat setempat.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, ia berpunca daripada sikap sesetengah masyarakat di bandar atau kampung yang kini semakin meminggirkan cara hidup bermuafakat.
Menurutnya, JLKN kecewa kerana sumber yang pelatih PKLN perlukan untuk membentuk sahsiah dan jati diri mereka kian hilang, malah tidak dapat dijadikan contoh kerana amalan kerja bergotong-royong telah terhakis.
"Salah satu modul di dalam PKLN adalah untuk menyemai budaya hidup tolong-menolong di dalam diri pelatih dengan mencontohi amalan masyarakat setempat, tetapi malangnya apabila mereka turun padang, sambutan orang ramai amat dingin.
"Keadaan sudah terbalik, pelatih PLKN pula yang kini menjadi pemangkin terhadap usaha menghidupkan kembali budaya bergotong royong.
"Orang ramai (sebaliknya lebih selesa) menjadi pemerhati dan enggan membantu walaupun yang dibersihkan itu adalah kawasan tempat tinggal mereka,"' ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Kem PLKN Cancun Park di sini hari ini. Hadir sama, komandan kem, Leftenan Kolonel Zahri Harun.
Abdul Hadi menambah, lebih dikesalkan dalam beberapa peristiwa, pelatih PLKN yang bertungkus lumus menjayakan program mendekati masyarakat melalui aktiviti membersihkan kawasan dianggap seperti kuli.
"Pelatih bukan kuli majlis perbandaran yang dikerah tenaga untuk bekerja. Melalui aktiviti bersama ia akan memberi peluang kepada mereka untuk mendampingi penduduk berhampiran mengenai budaya, amalan dan cara hidup," katanya.
Sebagai langkah penambahbaikan, beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Penerangan bagi memperkenalkan Program Komuniti Khidmat Bestari menerusi pengambilan kedua pelatih PLKN bermula 27 Mac hadapan.
"Pengambilan kedua tahun ini melibatkan seramai 42,000 pelatih dan mereka akan ditempatkan di 79 buah kem di seluruh negara dan program tersebut disasarkan demi memelihara budaya bergotong-royong tidak terkubur dan gagal diwarisi oleh generasi muda.
"Komuniti Bestari yang wujud di setiap daerah di bawah Jabatan Penerangan sebelum ini akan digerakkan untuk turut serta dalam setiap program pelatih bagi menghidupkan semula budaya tersebut," katanya.
Sementara itu, katanya, cakap-cakap sesetengah pihak kononnya PLKN hanya membazir dan membuang masa bertujuan memperlekehkan usaha murni itu.
"Selain melahirkan generasi yang memiliki jati diri dan nilai-nilai hidup yang positif, pelatih juga memberi sumbangan kepada negara antaranya menyertai kempen derma darah.
"Para pelatih PLKN telah menderma sebanyak 24,000 pain darah setahun melalui kempen derma darah kepada Tabung Darah Negara," ujarnya.
Add to Google
Tiada ulasan:
Catat Ulasan