Isnin, 8 Mac 2010

Ibu Syafia tidak perlu ditahan: Polis

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Polis tidak perlu menahan Siti Norhanim Aziz, ibu mangsa dera Allahyarham Syafia Humairah Sahari, berdasarkan pengumpulan bukti dan keterangan saksi, kata Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A Thaiveegan.

Beliau berkata, saksi sudah memberikan kerjasama baik dan keterangan mereka dapat membantu melengkapkan siasatan kes itu.

"Pada masa ini, tidak ada keperluan untuk tahan beliau (Siti Norhanim)," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Community Policing Taman Cheras Perdana di sini hari ini.

Polis mengambil keterangan Siti Norhanim, 25, Selasa lalu bagi melengkapkan siasatan kes dera kanak-kanak perempuan berusia 3 tahun itu.

Thaiveegan berkata, polis sedang melengkapkan siasatan secepat mungkin bagi membolehkan kertas siasatan dihantar ke Pejabat Peguam Negara.

"Kita sedang membuat siasatan rapi dan cuba melengkapkan kes itu segera untuk membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan," katanya.

Syafia Humairah meninggal dunia pada 25 Februari lalu selepas dipercayai didera teman lelaki ibunya di padang bola berhampiran rumah mereka di Taman Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali.

Berikutan itu, teman lelaki Siti Norhanim yang berusia 28 tahun dan bekerja sebagai pemandu teksi, ditahan bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Thaiveegan berkata polis masih mengumpul bukti dan saksi kejadian bagi membantu siasatan kes penderaan K Hereswarral yang berusia setahun enam bulan, di Petaling Jaya Khamis lalu.

"Tidak boleh terburu-buru untuk pastikan siasatan itu lengkap. Kita meminta sesiapa melihat dan mengetahui kejadian itu untuk tampil membantu polis," katanya.

Hereswarral meninggal dunia setelah mengalami kecederaan teruk pada badan akibat didera hingga mengakibatkan enam tulang rusuknya patah, hatinya hancur, selain cedera parah di kepala dan kemaluan.

Berikutan itu sepasang suami isteri yang juga jiran mangsa ditahan pada hari yang sama.

Tiada ulasan: