Oleh Sariha Mohd Ali, Syuhada Choo Abdullah dan Zanariah Abd Mutalib
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad akan merayu campur tangan Sultan Selangor dan kerajaan Selangor berhubung tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membatalkan tauliah memberi ceramah agama yang diberikan kepadanya.
Khalid yang juga Yang Dipertua Pas Shah Alam berkata, Jais mempunyai kuasa penuh berhubung pemberian tauliah, tetapi kerajaan negeri juga turut mempunyai kuasa untuk mengemukakan rang undang-undang berkaitan sebelum mendapatkan restu Sultan.
“Bagaimanapun, saya akan menunggu dahulu hasil mesyuarat Jais yang akan berlangsung esok (hari ini) bagi membincangkan kes saya dan Dr Asri Zainul Abidin (bekas Mufti Perlis),” katanya di lobi Parlimen, semalam.
Pada 14 Oktober lalu, Jais tidak meluluskan tauliah sementara kepada Khalid sebagai penceramah bebas di negeri itu atas sebab tapisan keselamatan.
Keputusan itu dibuat selepas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor mengemukakan satu surat kepada Jais pada 8 Oktober 2008 yang meminta jabatan itu membatalkan pentauliahan Khalid kerana dikatakan mempunyai rekod jenayah.
Khalid mendakwa, pembatalan tauliahnya disebabkan beliau didakwa tidak mempunyai latar belakang agama dan menyampaikan ceramah berunsur politik dan ugutan.
“Saya tidak berpolitik ketika berceramah. Saya hanya menyampaikan isu seperti keperluan untuk memperjuangkan hak dan kesan buruk rasuah dan itu bukan politik,” katanya.
Beliau turut meminta Jais mengambil kira memorandum yang ditandatangani 1,013 penduduk Shah Alam membantah keputusan Jais itu yang disiarkan sebuah akhbar semalam dan bukan hanya mengambil kira sokongan sebahagian penduduk terhadap keputusan itu.
Sementara itu, Khalid berkata, beliau sudah menjawab surat tunjuk sebab yang dikemukakan Jawatankuasa Disiplin Pas Pusat kepadanya berhubung pendiriannya yang sering bercanggah dengan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Dr Hassan Ali dalam beberapa isu.
“Dalam jawapan itu, saya menyatakan yang saya tidak membuat apa-apa kesalahan dan mempunyai perbezaan pendapat adalah perkara biasa,” katanya.
Khalid berkata, sepanjang pengetahuannya, hanya beliau dan Hassan saja yang menerima surat tunjuk sebab itu.
Katanya, beliau mungkin dipanggil untuk memberi keterangan selepas Pengerusi Jawatankuasa Disiplin, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kembali ke tanah air daripada menunaikan haji minggu ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan