BERNAMA
KUALA LUMPUR: Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2009 peringkat jawatankuasa Kementerian Pelajaran di Dewan Rakyat hari ini kecoh seketika apabila isu perkauman disentuh semasa usul pemotongan gaji Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin dikemukakan anggota Parlimen pembangkang.
Semuanya bermula apabila Datuk Abd Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) menyifatkan usul yang dibawa oleh Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas) itu "bukan saja jahat tetapi juga racist (berunsur perkauman) dan mempunyai niat politik."
"Jika kita amati ucapan Beruas, beliau menyebut pelajar-pelajar yang terkorban dalam tragedi jambatan gantung Kuala Dipang adalah pelajar India.
"Kenapa perlu disebut bangsa melainkan untuk mendapatkan political mileage (kepentingan politik)," katanya yang turut disokong anggota Parlimen Kalabakan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh.
Tindakan dua anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) itu ternyata mengundang kemarahan beberapa anggota parti pembangkang.
Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) menyifatkan tuduhan perkauman yang dilemparkan kepada Ngeh sebagai sangat serius.
"Jangan jadikan ini isu perkauman, Kota Belud," katanya sambil disokong Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah).
Sebelum itu, Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) menganggap usul yang dikemukakan Ngeh sebagai "usul jahat dan kurang ajar yang wajar ditolak bersama orang yang mencadangkannya keluar dari dewan".
Bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berjaya mengawal suasana daripada menjadi tegang dan menghentikan pertikaman lidah itu.
"Ahli-Ahli Yang Berhormat, ini bukan gelanggang gladiator...ini gelanggang percambahan fikiran," katanya yang mengaku bengang, kecewa dan letih dengan sikap sesetengah anggota Parlimen yang gemar berpolitik di dalam dewan.
Terdahulu, Ngeh dalam usulnya mencadangkan agar gaji Muhyiddin dipotong kerana Kementerian Pelajaran kurang prihatin dan gagal mengendalikan tragedi jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang, Perak pada akhir Oktober lepas yang mengorbankan tiga murid, dengan baik.
Beliau berkata cara kementerian menguruskan isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) juga dibuat secara tergesa-gesa.
Selain itu, Ngeh mendakwa kementerian mengamalkan sikap berat sebelah dalam menyediakan peruntukan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) serta sekolah mubaligh.
Sementara itu, Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) ketika menyokong usul tersebut berkata, kementerian perlu mengumumkan hasil siasatan berhubung tragedi jambatan runtuh Kuala Dipang secepat mungkin, jika boleh, pada sesi Parlimen kali ini.
Anggota Parlimen Bebas dari kawasan Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali pula mempertikaikan tindakan Ngeh yang mengemukakan perkara itu melalui usul sedangkan perkara itu boleh dibahaskan.
Beliau yang menyifatkan tindakan itu sebagai gimik politik, turut meminta anggota Parlimen menolak usul yang disifatkannya sebagai tidak ikhlas dan tidak bertanggungjawab.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Mohd Puad Zarkashi berkata dua daripada isu yang dibangkitkan Ngeh telah dijawab menteri berkenaan berulang kali.
Isu PPSMI, katanya, telah diselesaikan dan diganti dengan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMBI), yang bakal dilaksanakan pada 2011, iaitu setahun lebih awal daripada yang dijadual.
Berhubung tragedi Kuala Dipang, Mohd Puad berkata memandangkan ibu bapa mangsa yang terkorban telahpun memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak, kementerian akan merujuk perkara itu kepada Jabatan Peguam Negara apabila menerima writ saman.
Katanya, kerajaan juga tidak pernah mengamalkan sikap berat sebelah dalam memberi peruntukan kepada manamana sekolah di negara ini.
Usul itu kemudian ditolak berdasarkan undian majoriti di kalangan anggota Parlimen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan