UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat dan ahli Jawatankuasa Pusat (CC) yang menyokongnya patut segera meletakkan jawatan bagi membolehkan pemilihan semula parti diadakan dalam tempoh terdekat ini.
Penganalisis politik, Profesor Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, Tee Keat sepatutnya menjadi orang pertama berbuat demikian kerana cadangan mengadakan pemilihan baru parti merupakan idea beliau sebelum ini.
Menurutnya, semua ahli CC MCA yang dipilih termasuk Tee Keat perlu ikhlas meletakkan jawatan dan menyerahkan kepada ahli-ahli parti untuk menentukan pucuk kepimpinan baru parti itu.
"Kesanggupan ahli CC MCA meletakkan jawatan bagi membolehkan pemilihan semula parti diadakan adalah tindakan yang adil sekali.
"Mereka yang enggan membenarkan pemilihan diadakan boleh dianggap sebagai anti demokrasi dan takutkan bayang-bayang sendiri kerana bimbang tidak dipilih semula," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai kebuntuan pemimpin MCA untuk menyelesaikan kemelut dalaman parti itu kerana masih kekurangan lapan lagi anggota CC dipilih untuk meletakkan jawatan bagi membolehkan pemilihan baru parti diadakan.
Hari ini, 13 ahli CC MCA termasuk Naib Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Setiausaha Agung, Wong Foon Meng di bangunan Parlimen di sini.
Penyerahan surat peletakan jawatan itu bagi memberi laluan kepada pemilihan semula parti yang diyakini berupaya memulihkan krisis dalaman MCA.
Pemilihan baru MCA hanya boleh diadakan jika sekurang-kurangnya lapan lagi ahli CC mengambil langkah sama menjadikan semuanya 21 orang atau dua per tiga meletakkan jawatan.
Ahmad Atory menambah, pemilihan baru MCA perlu diadakan dengan segera bagi mengelak para pemimpin yang bertanding menjalankan kempen melobi perwakilan agar menyokong mereka memenangi jawatan dalam parti.
"Kalau tempoh berkempen terlalu lama, kita bimbang ia bertukar menjadi kempen tidak sihat iaitu menggalakkan politik wang.
"Kalau pucuk pimpinan baru dipilih melalui cara ini, kita bimbang kemelut dalaman MCA tidak akan selesai sampai bila-bila," ujarnya.
Seorang lagi penganalisis politik, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling berkata, semua pemimpin MCA harus mempunyai hati yang ikhlas untuk menyelesaikan masalah dalaman parti itu.
Katanya, kemelut yang berlarutan hanya merugikan parti itu kerana orang ramai khususnya masyarakat Cina di negara ini akan hilang kepercayaan terhadap MCA sebagai parti yang mewakili mereka dalam kerajaan.
"Mungkin Tee Keat dan pengikutnya tidak bersedia meletakkan jawatan kerana bimbang hilang kuasa sebagai pemimpin tetapi mereka harus ingat bahawa sikap seperti ini hanya menjejaskan keyakinan rakyat terhadap MCA," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan