Isnin, 14 Disember 2009

Talian Nur 15999 Terima Aduan Kes Penderaan Pembantu Rumah

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Talian Nur 15999 kini di perluas bagi menerima aduan mengenai penderaan dan penganiayaan terhadap pembantu rumah, kata Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat AbduL Jalil hari ini.

Beliau berkata kerajaan mengambil langkah itu kerana prihatin terhadap kebajikan pembantu rumah rakyat asing dan memandang serius keskes penderaan terhadap mereka.

Menurutnya semua aduan penderaan fizikal dan seksual terhadap pembantu rumah yang diterima melalui Talian Nur 15999 akan disalur terus kepada Polis Diraja Malaysia untuk siasatan segera.

"Aduan tentang pembantu rumah yang melibatkan bayaran upah atau tidak dibayar gaji akan disalurkan kepada Jabatan Tenaga Kerja untuk tindakan," katanya dalam kenyataan di sini.

Talian Nur 15999 beroperasi sejak 2007 berfungsi sebagai talian tunggal yang menghubung ke semua pelanggan kementerian itu dan jabatan atau agensi di bawah kawalannya.

Talian itu bertujuan memudahkan orang ramai mengemukakan pertanyaan, aduan dan mendapatkan bantuan berkaitan penderaan, pengabaian, keganasan rumah tangga, skim bantuan kebajikan dan lain-lain.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari laman web www.kpwkm.gov.my atau mendail nombor itu menggunakan talian tetap atau telefon bimbit yang beroperasi 24 jam sehari.

Tiada ulasan: