MALAYSIA KINI
ALOR SETAR: Pemuda Gerakan Kedah menyarankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengumumkan hasil siasatan sesuatu kes yang tidak sesuai untuk didakwa di mahkamah bagi mengelak timbulnya sebarang spekulasi di kalangan masyarakat.
Ketuanya, Tan Keng Liang, berkata tindakan mengumumkan mengapa sesuatu kes itu tidak boleh diambil tindakan akan menunjukkan ketelusan suruhanjaya berkenaan terhadap orang ramai, sekali gus mengelak pihak berkuasa itu daripada terus diselubungi persepsi negatif.
Katanya, ia adalah antara pembaharuan yang dicadangkan pergerakan itu kepada Datuk Abu Kassim Mohammed yang akan mengambil alih jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM, berkuatkuasa 1 Januari depan.
Tan berkata, pihaknya juga mencadangkan SPRM menyiarkan di dalam laporan tahunannya mengenai jumlah kes yang dilaporkan kepadanya sepanjang tahun dan bentuk tindakan yang diambil.
"Bagi kes yang SPRM mengambil keputusan untuk tidak mengenakan sebarang tindakan atau tiada tindakan diambil selepas enam bulan dari tarikh laporan diterima, SPRM harus menyenaraikan alasan bagi kegagalan mengambil tindakan.
"SPRM perlu mengambil tindakan bagi memulihkan semula imej dan kepercayaan orang ramai terhadap suruhanjaya berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau mengulas pelantikan Abu Kassim yang juga Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM menggantikan Ketuanya, Datuk Ahmad Said Hamdan yang memohon bersara akhir bulan ini apabila memendekkan tempoh kontraknya yang sepatutnya berakhir Mei 2010.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan