SABAH DAILY
Ahli Jawatankuasa Pusat (CC) MCA Datuk Ti Lian Ker yang dilihat sebagai penyokong kuat Presiden MCA berpendapat pemilihan baru ekoran desakan satu lagi kumpulan bertelagah tidak akan menyelesaikan masalah dalaman parti itu, sebaliknya bakal menjadikan ia lebih lemah.Pemilihan baru menurut beliau, “cuma salah satu pilihan, banyak cara lagi yang boleh dibincang.”
“Tidakkah sesuatu yang kelakar dan naïf untuk memikirkan bahawa pembuangan undi dalam keadaan kempen yang panas semasa pemilihan baru parti mampu memperbaharui dan menguatkan parti selepas itu?” katanya.
Naib presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dari Pahang adalah antara 13 anggota CC parti itu meletak jawatan untuk membolehkan pemilihan semula parti itu diadakan, semalam.
Surat peletakan jawatan masing-masing diserahkan kepada setiausaha agung MCA Datuk Wong Foon Meng.
Liow, yang juga Menteri Kesihatan berkata tindakan itu perlu untuk menyelesaikan segera krisis dalaman parti itu.
Ti berkata senario di akar umbi tidak seperti yang ditayangkan di kaca televisyen.
Ahli-ahli bawahan MCA rata-ratanya sudah bosan dan mahu krisis ini ditamatkan secepat mungkin manakala pilihan paling berkemungkinan adalah pengekalan status quo, kata beliau.
Beliau menambah, apa yang menjadi masalah sekarang ialah wujudnya cubaan projeksi pemikiran masyarakat Cina di Malaysia melalui pemasaran pandangan yang dikuasai dan dimonopoli oleh sebuah syarikat dari Sarawak, Rimbunan Hijau.
Dakwa Ti media-media utama berbahasa Cina serta kesatuan dan persatuan Cina dikerah untuk masuk campur dalam urusan dalaman MCA.
Mereka mahu mengajar MCA bagi membuktikan yang pihaknya lebih berwibawa dalam menguruskan kepimpinan masyarakat Cina di Malaysia, kata beliau.
“Mereka berpura-pura mengambil berat tentang MCA, padahal mereka sebenarnya sedang merangka persediaan mengambil-alih kedudukan MCA,” katanya.
Oleh itu Ti menjelaskan, jika berjayanya desakan pemilihan baru dan pengundian dalam keadaan MCA sedang bergolak seperti sekarang akan membuatkan parti menjadi semakin lemah dan berpecah.
Seterusnya kumpulan ini akan berjaya meletakkan diri mereka menjadi bertambah penting di mata Umno dan kerajaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan