Oleh Ziauddin Sharuddin
SEREMBAN: Seorang wanita yang melahirkan anak luar nikah hasil hubungan dengan teman lelakinya, mencekik bayi lelaki yang baru dilahirkan dan menanamnya di belakang rumah sewanya di Labu dekat sini, kira-kira seminggu lalu.
Wanita berusia lingkungan 20-an terbabit yang melahirkan anaknya di bilik air rumah itu dipercayai berbuat demikian untuk mengelakkan tangisan bayi itu menarik perhatian penduduk sekitar yang tahu dia belum berkahwin.
Bagaimanapun, perbuatan itu terbongkar selepas teman lelakinya sendiri menghubungi Balai Polis Labu untuk memaklumkan kejadian itu, kira-kira jam 1 petang kelmarin.
Berikutan itu, sepasukan anggota polis berkejar ke tempat kejadian, tetapi gagal mengesan tempat bayi itu ditanam.
Anggota polis kemudian menyoal siasat wanita terbabit dan membawanya ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) untuk menjalani pemeriksaan perubatan, tetapi dia enggan mengikut arahan itu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin, berkata polis dengan kerjasama penduduk kampung melancarkan gerakan mencari tempat mayat bayi itu ditanam.
"Penduduk kampung berjaya menemui bayi itu dalam bungkusan kain berbau busuk di belakang rumah itu dan penemuan ini menyebabkan polis menahan wanita terbabit untuk siasatan lanjut," katanya semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan