Khamis, 17 Disember 2009

Nik Aziz nafi beberapa pegawai dipecat

UTUSAN ONLINE


KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan desas-desus beberapa pegawai utama negeri akan digugurkan ekoran kemelut pentadbiran yang melanda negeri ini.

Desas-desus itu dikaitkan dengan layanan tidak menyenangkan terhadap Sultan Kelantan yang kini mendapat rawatan susulan di Singapura termasuk soal pembiayaan lebih RM1 juta.

Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan berlaku pertukaran di kalangan para pegawai yang merupakan proses biasa bagi melancarkan pentadbiran.

Beliau turut melenyapkan tanda tanya sama ada akan membuat rombakan barisan Exco dengan memberi jaminan ia tidak akan berlaku.

''Khabar angin... angin, siang malam ada angin,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Kota Darulnaim di sini hari ini ketika ditanya berhubung beliau menghadap Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra semalam.

Sultan Ismail Petra yang gering kini berada di Singapura untuk mendapatkan rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth.

Berikutan itu anakanda baginda, Tengku Muhamad Faris Petra dilantik sebagai Pemangku Raja pada 24 Mei lalu sehingga baginda pulih.

Utusan Malaysia difahamkan baginda dijangka dibawa pulang dalam tempoh terdekat ini.

Mengenai keputusan kerajaan negeri memohon agar Tuanku Ismail Petra kembali mendapat rawatan di tanah air, Nik Abdul Aziz berkata, ia adalah langkah psikologi kerana baginda begitu lama di luar negeri.

Katanya, ia akan menyebabkan rakyat tertanya-tanya di mana baginda dan langkah ini memudahkan rakyat mendapatkan perkhabaran dan mendekatkan ingatan mereka serta sentiasa mendoakan kesejahteraan baginda.

Tiada ulasan: