Isnin, 21 Disember 2009

KPDNKK nafi tarik subsidi gula

Oleh ALI MAHMOOD


BERA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menafikan kerajaan akan menarik balik subsidi gula pada tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan tidak berhasrat menarik balik subsidi gula walaupun perjanjian pembelian bekalan dari beberapa negara pengeluar tamat pada 2011.

Katanya, kenaikan harga gula di pasaran hanya spekulasi yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab bagi mengaut keuntungan segera.

''Spekulasi itu mungkin dimomokkan supaya rakyat panik dan membeli gula secara banyak hingga berlaku kekurangan bekalan sebagaimana berlaku sebelum ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2009 dan penyampaian Bantuan Persekolahan 2010 peringkat Parlimen Bera di sini hari ini.

Menurut Ismail Sabri, pada masa ini, kerajaan mengimport 70 peratus gula mengikut perjanjian jangka panjang yang tamat dua tahun lagi dan 30 peratus lagi bekalan diimport dengan harga semasa.

Jika kerajaan menarik balik subsidi, katanya, harga gula akan meningkat antara RM2.50 hingga RM2.60 sekilogram mengikut harga pasaran semasa berbanding RM1.45 sekilogram sekarang.

Ismail Sabri berkata, kerajaan mengeluarkan subsidi gula lebih RM1 bilion setahun dengan mengimport bahan itu dari Brazil, Thailand dan Australia.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, rakyat negara ini sengaja membeli 'penyakit' apabila menjadi antara pengguna gula tertinggi di dunia.

''Gula sebenarnya menjadi punca penyakit kencing manis yang boleh menyebabkan kaki kita dipotong, mata menjadi buta dan sebagainya.

''Oleh itu, saya menasihati rakyat mengurangkan penggunaan gula dalam masakan dan minuman agar kita hidup sihat sehingga usia tua,'' ujarnya.

Pada masa ini, tambahnya, kira-kira 1.2 juta rakyat negara ini menghidap kencing manis dan ia dijangka meningkat kepada 2.6 juta orang menjelang 2030.

Tiada ulasan: