BERIATA HARIAN ONLINE
PUTRAJAYA: Kemelut dalaman Parti Progresif Penduduk (PPP) kini berterusan apabila Presidennya, Datuk M Kayveas kini melancarkan serangan balas besar-besaran terhadap kumpulan individu diketuai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T Murugiah yang didakwanya sebagai pengacau dan dalang dibalik usaha merosakkan imej parti itu.
Kayveas berkata, Murugiah kini adalah Senator dan Timbalan Menteri ‘haram’ kerana Artikel 6.10 Perlembagaan PPP 1996 mengariskan bahawa mana-mana ahli parti itu yang dipecat secara automatik hilang kelayakan untuk memegang jawatan dalam kerajaan.
Justeru itu, Kayveas sekali lagi mengulangi desakannya supaya Murugiah melepaskan jawatannya sebagai Senator dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, secepat mungkin.
“Mengikut undang-undang, dia (Murugiah) patut melepaskan semua jawatan, tetapi dia tidak melakukan demikian, sebab itu saya kata dia adalah ‘Senator dan Timbalan Menteri haram’.
“Jadi, mulai hari ini kita tidak akan berdiam... kita sudah lama sabar tetapi dia tetapi membuat kacau. Mulai hari ini (semalam) saya akan mengambil tindakan jika dia masih buat kacau, masa berdiam diri sudah tamat,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis terhadap lima individu yang didakwa menjadi dalang yang merosakkan imej PPP di Balai Polis Daerah Putrajaya di sini, semalam.
Lima individu terbabit termasuk Murugiah dan empat bekas Ahli Majlis Tertinggi PPP yang didakwa membuat laporan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Jun lalu yang mengaitkannya (Kayveas) dengan penyelewengan dana parti bernilai RM3 juta.
Laporan berkenaan mengaitkan Kayveas dan firma guamannya Blanche & Kayveas dengan penyelewengan parti berjumlah RM3 juta.
Kayveas dan sekumpulan penyokongnya tiba di Balai Polis Daerah Putrajaya, kira-kira jam 2.30 untuk membuat laporan terhadap lima individu berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan