Isnin, 14 Disember 2009

Isytihar semua kaum ‘pemilik bersama’ negara

SINAR HARIAN


SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, diminta perjelaskan kepada rakyat bahawa konsep 1Malaysia tidak bermaksud ‘Ketuanan Melayu’ dan mengisytiharkan semua rakyat Malaysia adalah ‘pemilik bersama’ negara ini, tidak kira apa pun bangsa mereka.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, menteri dan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak lagi mengelak dari isu ini dan perlu menyatakan pandangan masing-masing dengan jelas serta mengiktiraf hak semua kaum.

“Ia bukan sahaja mengejutkan, malah terlalu melampau apabila menteri daripada MCA, Gerakan, MIC, dari Sabah dan Sarawak terus menerima konsep ’Ketuanan Melayu’ sebagai dasar dan doktrin BN.

“Malah mereka mengiringi mesej-mesej benci dan ketidaksanggupan seperti menggambarkan Cina di Malaysia sebagai orang Yahudi di Asia dan bukan Melayu sebagai ‘orang tumpang’,” kata Kit Siang dalam kenyataannya semalam.

Selain itu, Kit Siang mengkritik pihak yang mengatakan orang Melayu yang berfikiran rasional dan tidak menyokong ‘Ketuanan Melayu’ sebagai ‘pembelot bangsa Melayu’.

Mengenai isu Biro Tata Negara (BTN), Kit Siang, yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur, membidas kenyataan Najib yang mahukan polemik mengenainya dihentikan dan akan membuat keputusan terhadap isu ini nanti.:

Katanya, keputusan menentukan nasib BTN tidak harus dibuat oleh Perdana Menteri seorang sahaja, tetapi beliau hendaklah mengambil kira pandangan pemimpin BN yang lain.

“Tindakan ini menggambarkan betapa tidak sihat, tidak demokratik dan penumpuan kuasa yang berbahaya di tangan Perdana Menteri seorang sahaja untuk menentukan satu-satu keputusan,” katanya.

Najib, katanya, tidak boleh lagi mengelak bahawa konsep 1Malaysia yang dibawanya bertentangan dengan kursus indoktrinasi BTN yang bersifat perkauman, menghasut dan menyebabkan kebencian kaum serta memudaratkan objektif pembangunan bangsa dan perpaduan negara.

Tiada ulasan: