UTUSAN ONLINE
RAUB – Program inap desa akan diperluaskan ke perkampungan kaum Cina di seluruh negara bagi memperkenalkan konsep 1Malaysia terutama kepada pelancong asing.
Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, setakat ini, belum ada sebuah rumah milik kaum Cina terbabit dalam program tersebut.
Sehingga kini, jelas beliau, kesemua kira-kira 130 kampung dengan 3,600 rumah di seluruh negara yang terbabit dengan program inap desa adalah orang Melayu.
‘‘Sebahagian besar yang terlibat dalam pelancongan inap desa ini adalah kampung tradisional dan tanah rancangan Felda.
‘‘Ini mungkin disebabkan budaya kaum Cina yang tidak biasa menerima kehadiran orang lain untuk tinggal bersama mereka.
‘‘Ia berbeza dengan masyarakat Melayu yang saya lihat mudah menerima kehadiran orang luar atau pelancong,’’ katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan di Kampung Sungai Chetang di sini, hari ini.
Yen Yen berkata, kementeriannya akan sentiasa memberi galakan kepada kaum Cina atau India yang berminat melibatkan diri dalam pelancongan inap desa.
Jelasnya, program inap desa terbukti mampu menjana ekonomi masyarakat luar bandar berikutan pelancong kini lebih berminat untuk tinggal di rumah milik penduduk berbanding hotel bagi menyelami sendiri budaya tempatan.
Dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, katanya, program inap desa menjana pendapatan sebanyak RM7.2 juta.
‘‘Dalam tempoh itu, ada pengusaha inap desa mampu meraih pendapatan berjumlah RM10,000,’’ katanya.
Sementara itu, Yen Yen berkata, Kampung Sungai Chetang yang dikelilingi bukit bukau dengan udara yang nyaman mampu menjadi perintis kepada perkampungan Cina dalam program inap desa tersebut.
Katanya, kebanyakan penduduk kampung itu pada dasarnya bersetuju untuk menyertai program tersebut namun perlu bertanggungjawab dalam memelihara kebersihan bagi menarik pelancong.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan