BARU kelmarin pementasan teater terbaru arahan penggiat teater kreatif, Erma Fatima 'Natrah' membuka tirainya di pentas Panggung Sari, Istana Budaya.
Namun, khabar yang kurang enak mengenai teater itu sudah mula menghambat pementasan 'Natrah'.
Sebilangan besar penonton yang menyaksikan pementasan sulung teater itu pada malam kelmarin menyuarakan ketidakpuasan mereka terhadap skrip dan jalan cerita 'Natrah' yang dianggap 'longgar' dan 'berat sebelah' kepada pihak Belanda.
Enggan membuat spekulasi atau menyalahkan Erma secara melulu, mStar Online sempat menghubungi pengarah ini bagi mendapatkan penjelasannya.
"Sebagai seorang penggiat seni, saya mempunyai tanggungjawab yang besar dalam menyampaikan naskah saya kepada masyarakat. Maka, fakta tetap fakta," jelas Erma yang sedikit terkejut apabila diajukan persoalan itu.
Erma, yang sememangnya terkenal dengan ketegasannya bagaimanapun mengulas dakwaan itu dengan fakta tersendiri.
Menurut Erma setiap perincian di dalam skrip dan penceritaan 'Natrah' telah diperhalusi dan dikaji dengan teliti sebelum pementasan bermula bagi memastikan setiap paparan itu bersifat sahih dan benar.
"Mungkin ada pihak yang kurang bersetuju dengan olahan cerita 'Natrah' dan merasakan bahawa apa yang dipersembahkan itu seolah berat sebelah dan memenangkan pihak Belanda. Tetapi, itu adalah hakikatnya.
"Tidak mungkin saya boleh sesuka hati mengubahsuai fakta sejarah semata-mata untuk memenangi hati mana-mana pihak. Jika itu yang tercatat dalam sejarah, maka itulah yang saya paparkan," katanya.
Biarpun pada pementasan tersebut mungkin ada pihak yang merasakan skrip 'Natrah' bersifat berat sebelah dan memihak kepada tentera Belanda, Erma menegaskan bahawa cerita yang dipaparkan itu adalah fakta yang sahih dan bukan sengaja diubahsuai atau ditokok-tambah untuk mengundang kontroversi.
Mengulas lanjut mengenai desas-desus yang mendakwa skrip tersebut bersifat kurang patriotik kerana lebih memartabatkan perjuangan watak ibu kandung Natrah, Adeline (lakonan Samantha Schubert) berbanding ibu angkat Natrah, Che Aminah (lakonan Umie Aida), Erma tegas mempertahankan sebab di sebalik penceritaan tersebut.
"Sebagai pengarah, saya berusaha untuk memaparkan perjuangan kedua-dua ibu Natrah dengan seadil-adilnya. Baik Aminah mahupun Adeline, mereka berjuang mempertahankan hak masing-masing dengan cara dan nahu tersendiri.
"Hanya kerana paparan cerita itu seolah memihak kepada Adeline yang beragama Kristian dan bukan Melayu, ini secara tidak langsung telah meluluhkan simpati penonton terhadap perjuangan Aminah. Pada saya, dakwaan itu kurang berasas.
"Walaupun ada pihak yang berpandangan sebegitu, namun ia sama sekali tidak ada kena-mengena dengan jati diri bangsa atau agama yang lemah. Penonton perlu faham apa yang saya cuba tonjolkan melalui kedua-dua watak itu adalah perjuangan mereka tanpa memanipulasi isu agama atau bangsa," jelas pengarah yang berpengaruh.
Tambah Erma, mungkin kisah 'Natrah' perit untuk diterima, namun penonton sepatutnya mengambil mesej yang tersirat di sebalik kekalahan orang Melayu sebagai kemenangan kepada semangat dan jati diri bangsa Melayu.
"Walaupun secara fakta, orang Melayu kehilangan Natrah, namun di sebalik kekalahan itu, orang Melayu sebenarnya menang dari aspek penyatuan bangsa. Fakta itu yang saya cuba tekankan.
"Ia sepatutnya dibanggakan oleh orang Melayu dan anak Malaysia amnya. Biarpun pada mata kasar kita tewas, tetapi di dalam semangat dan jiwa bangsa Melayu kita sebenarnya menang besar melalui penyatuan bangsa kita," kata Erma lagi.
Menjawab dakwaan beberapa pihak yang tidak puas hati dengan perjalanan cerita teater ini yang tidak menunjukkan dengan jelas bagaimana Natrah diculik dan dirampas oleh pihak British, Erma berkata walaupun babak penting itu tidak dipaparkan dalam bentuk lakonan, namun fakta dan sejarah mengenai peristiwa telah dipaparkan secara bertulis di skrin di awal cerita.
"Mungkin ada pihak yang terlepas pandang atau tidak membaca paparan fakta secara bertulis yang dipaparkan di awal pementasan. Maka, mereka merasakan bahawa babak sepenting itu tidak saya tunjukkan kepada penonton.
"Jika penjelasan itu sudah dinyatakan secara bertulis di skrin di awal cerita, maka tidak perlu untuk saya tonjolkan sekali lagi dalam bentuk lakonan pula bagi menerangkan fakta yang sama," ujar Erma mengakhiri perbualan.
'Natrah' dibintangi oleh Maya Karin sebagai Natrah ketika berusia 13 dan 20 tahun, Remy Ishak (Mansor Adabi), Umie Aida (Che Aminah), Sofia Jane (Natrah ketika berusia 70 tahun) dan Samantha Schubert (Adeline). Teater ini sedang berlangsung di Istana Budaya bermula 30 November hingga 9 Disember depan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan