Isnin, 21 Disember 2009

Ekoran Projek-projek Mega Tergendala – Pegawai Kerajaan Mula Bersuara

Wartawan Buletin


KUALA TERENGGANU – Kepincangan dalam projek-projek mega yang dilaksanakan pada zaman bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Idris Jusoh kita bukan sahaja menjadi perbualan rakyat namun juga menjadi ‘perkataan’ dikalangan para pegawai.

Kejadian malang yang berlaku keatas projek-projek mega dari slogan ‘pembangunan yang tidak pernah dilihat’ itu kini menghantui kerajaan Terengganu Umno dan Barisan Nasional (BN) yang diterajui oleh Menteri Besarnya, Dato’ Ahmad Said.

Semakin banyak jumlah projek-projek yang tergendala, mengalami progres yang terlalu lambat, yang telah rosak, punah dan runtuh; bukan sahaja meninggalkan kesan keatas para pegawai namun menjadi ‘tohmahan’ kepada Ahmad sendiri.

Ahmad dikatakan tidak memberikan sokongan kepada beberapa projek yang telah dilaksanakan sebelum beliau memegang tampuk kuasa.

“Oleh sebab itu, akademi pelayaran ini jadi terbiar, walaupun siap dan dibina dengan cantik,”kata seorang penduduk Pulau Duyung, apabila ditanya mengapa bangunan ditepi sungai Terengganu itu terbiar.

Selain itu, antara yang paling terkesan dari kemelut pembangunan yang melanda bumi Darul Iman ini adalah para pegawai dari Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri Terengganu yang terpaksa menerima akibat kerana ‘perbuatan’ orang-orang politik.

Sejumlah besar pertukaran pegawai JKR yang sedang berlaku, adalah berkait rapat dengan sekeping ‘surat layang’ yang melayang-layang ke meja Ketua Setiausaha Negara.

Buletinonline dimaklumkan, nama-nama para pegawai JKR dsupaya diambil tindakan oleh pihak tertentu telah di tulis satu persatu, dalam surat layang tersebut, secara terang dan jelas, dalam surat layang tersebut.

”Pertukaran mereka ada kaitan dengan tragedi Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang telah runtuh,”kata seorang pegawai yang tidak mahu dikenali.

Buletinonline juga dimaklumkan, yang turut menerima tempias tindakan ‘tukar menukar’ dan ‘pecat memecat’ adalah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mokhtar Nong.

Dalam perkembangan yang sama, rakyat Terengganu tidak mungkin mengecapi nikmat ‘pembangunan yang tidak pernah dilihat’ dari projek Lebuh Raya Pantai Timur Fasa Dua (LPT2) dalam masa yang dijanjikan.

Projek mega bernilai RM3.7 bilion yang dibiayai sebahagiannya oleh wang royalti minyak Terengganu itu telah dinyatakan secara rasmi mengalami kelewatan selama setahun.

Pada 17 Jun lalu, kerajaan menyatakan sasaran siap pada tahun 2011 telah dianjak tarikhnya selama setahun kepada tahun 2012.

Namun begitu, ia mungkin tidak akan dapat digunakan pada tahun tersebut kerana pembinaanya masih tergendala sehingga kini.

Sehubungan itu, bukan hanya orang-orang kampung menjadikannya sebagai satu topik perbualan kedai kopi, tetapi turut menjadi bual bicara dikalangan para pegawai.

Antara mereka tanpa sembunyi dan tidak sedikit pun merasa takut, mengkritik tindakan kerajaan menyalahgunakan wang royalti minyak.

”Macamana tak tergendala, guna wang yang tidak ‘berkat’,”ujar salah seorang dari mereka yang menegaskan, sepatutnya wang tersebut digunakan untuk kebajikan anak negeri dan kemajuan masa depan Terengganu

Tiada ulasan: