SINAR HARIAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memperkenalkan dua kategori baru bagi Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk diguna pakai dalam menguruskan pendaftaran OKU iaitu kurang upaya pertuturan dan kurang upaya mental.:
Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, kategori baru itu diperkenalkan selepas mendapat kelulusan kabinet baru-baru ini.
Menurutnya, ia diwujudkan selepas mengambil kira maklum balas yang diterima serta rundingan daripada pelbagai pihak antaranya agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan serta OKU sendiri yang meminta supaya diwujudkan kategori OKU yang lebih menyeluruh, menepati kehendak semasa dan selaras dengan definisi yang diterima pakai dalam Akta OKU 2008.
“OKU yang dikategorikan di bawah kurang upaya pertuturan adalah seseorang yang tidak boleh bertutur sehingga menyebabkan gangguan berkomunikasi semasa berinteraksi dengan orang lain seperti afonia (tidak ada suara) dan dysarthria (tidak boleh bercakap),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan sambutan Hari OKU Peringkat Kebangsaan di sini, semalam."
Bagi OKU mental pula merujuk kepada seseorang yang menghidap penyakit mental seperti 'skizofrenia', 'mood disorder' dan 'organic mental disorder' yang serius serta kronik dan telah menjalani rawatan psikiatri sekurang-kurangnya dua tahun.
"Selain dua kategori itu, kategori sedia ada yang diguna pakai untuk mendaftarkan OKU adalah kategori kurang upaya pelbagai, kurang upaya penglihatan, kurang upaya pendengaran, kurang upaya fizikal serta masalah pembelajaran," katanya.
Beliau berkata dalam pembentangan bajet 2010 baru-baru ini, kerajaan telah memperuntukkan RM224 juta kepada OKU untuk bantuan, melaksanakan program pemulihan dalam komuniti serta menaik taraf empat Taman Sinar Harapan.
Menurutnya sepanjang tahun hadapan kementerian juga akan lebih menumpukan kepada mewujudkan peluang pekerjaan untuk OKU selain memberikan perhatian kepada isu aksesibiliti dalam dan luar bangunan bagi memudahkan mereka menyelesaikan urusan harian.
Mengenai kemudahan yang disediakan untuk OKU, Shahrizat berkata, beliau masih tidak berpuas hati kerana masih banyak lagi pejabat, tempat awam dan pengangkutan awam yang tidak mesra OKU. “Walaupun ada bangunan pencakar langit tetapi kalau prasarana OKU tidak mengikut standard, kita tak akan jadi negara maju,” kata beliau.
Terdahulu beliau menyampaikan Anugerah OKU Cemerlang kepada Godfrey Ooi Goat See bagi kategori penglihatan, Razani Ramli (kategori pendengaran), Datuk Zaharul Lail Awang Lateh (kategori fizikal) dan Johari Jamali kategori untuk OKU yang bermasalah pembelajaran.
Mereka menerima RM3,000, trofi serta sijil penghargaan. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan