Isnin, 7 Disember 2009

300 tokoh saintis Islam hadiri sidang di Unisel

MALAYSIA KINI


Lebih 300 tokoh saintis Islam akan menghadiri persidangan akademik sains Islam sedunia (IAS 2009) di Universiti Industri Selangor (Unisel) yang dipilih menjadi tuan rumah persidangan tersebut tahun ini.

Ia merupakan persidangan antarabangsa tahunan yang menjadi landasan untuk membincangkan pencapaian sains dan bioteknologi Islam.

Persidangan tahun ini akan berlangsung selama empat hari mulai 14 Disember, di sebuah hotel terkemula di Shah Alam dan dirasmikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed akan membentangkan ucaptama pada pertama persidangan tersebut, kata penolong pengurus komunikasi korporat Unisel, Hasril Abu Hassan dalam satu kenyataan hari ini.

Persidangan tahun ini akan turut dihadiri oleh Putera El-Hassan Ibni Talal dari Jordan, datuk bandar kota Makkah dan wakil presiden Pakistan.

Bertemakan "Ke arah Masyarakat Islam Yang Berilmu", ia dijangka mampu meningkatkan keperihatinan dan pengetahuan masyarakat Islam.

Sebanyak 34 negara yang mengaggotai Pertubuhan Negara Islam (OIC) akan mengambil bahagian dalam persidangan kali ini.

Manakala 34 kertas kerja akan dibentangkan oleh tokoh saintis Islam terkemuka dalam bidang masing-masing.

Menurut Hasril, antara objektif persidangan ialah:

1. Menimbulkan kesedaran orang ramai terhadap konsep masyarakat berilmu secara umum dalam peringkat membuat keputusan khususnya.

2. Menilai peranan wanita sebagai penyumbang ilmu dalam sains dan penyelidikan saintifik kepada OIC dan negara sedang membangun.

3. Membincangkan halangan yang dihadapi R&D di negara OIC (pandangan pekerja berilmu).

4. Memperkukuhkan jaringan sains dalam sektor swasta (aplikasi pengetahuan).

5. Memperkukuhkan hubungan antara saintis dan komuniti khususnya hubungan media.

6. Membabitkan belia negara OIC dalam sains, teknologi dan inovasi (STI) (pengetahuan untuk masa depan) .

Beliau menyifatkan majlis bersejarah itu sebagai satu pengiktirafan besar kepada Unisel, sekaligus mengangkat martabatnya di i peringkat antarabangsa.

"Persidangan ini juga turut membuka ruang serta peluang kepada semua saintis Unisel dan saintis Islam negara mendekati tokoh sains Islam antarabangsa yang terkenal," tambahnya.

Menurut Hasril lagi, pelbagai forum menarik akan diadakan bermula pada 13 Disember dengan forum bertajuk 'Belia dan Islam', yang dijangka dihadiri 800 pelajar universiti dan pertubuhan belia tempatan.

Pada 14 Disember pula akan berlangsung forum bertajuk 'Wanita dan Sains' manakala pada 17 Disember pula, akan diadakan forum khusus untuk pengiat media bertajuk 'Media dan Sains'.

Tiada ulasan: