Jumaat, 11 Disember 2009

2 tahun selesaikan isu kewarganegaraan

UTUSAN ONLINE


LONG KEVOK (Ulu Baram) – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menetapkan tempoh dua tahun untuk menyelesaikan isu tanpa kewarganegaraan penduduk Sarawak, termasuk 10,056 kaum Penan yang menetap di luar bandar di negeri ini.

Selepas tempoh itu, kementerian akan mengetatkan lagi permohonan sijil kelahiran dan MyKad tanpa menafikan hak rakyat, kata Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

“Selepas tempoh itu berakhir semua permohonan individu yang mendakwa sudah menetap lama di negeri ini tetapi tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan MyKad tidak akan dipertimbangkan lagi,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, hanya penduduk Sarawak yang menepati syarat kelayakan yang ditetapkan boleh diberi hak kewarganegaraan.

“Bagi kes warganegara yang tidak memiliki MyKad, mereka diberi tempoh sehingga hujung tahun depan untuk membuat permohonan. Manakala, bagi penduduk yang tidak ada dokumen pengenalan diri, tempoh yang ditetapkan adalah sehingga 31 Disember 2011.

“Tempoh yang diberikan mencukupi untuk semua proses berkaitan seperti pendaftaran permohonan, semakan taraf kerakyatan dan sebagainya,” kata beliau pada sidang akhbar di Majlis Penyerahan Sijil Kelahiran dan MyKad di sini hari ini.

Turut hadir ialah timbalannya, Jelaing Mersat yang dipertanggungjawab menyelaras perkara itu dengan kerajaan negeri, Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) dan Jabatan Imigresen.

Hishammuddin, ialah Menteri Dalam Negeri pertama melawat kawasan Penan, Long Kevok yang terletak sejauh enam jam perjalanan menggunakan pacuan empat roda dari bandar raya Miri.

Beliau turut menyerahkan 24 MyKad dan lima sijil kelahiran kepada kaum minoriti itu.

Bagi kawasan pedalaman, Hishammuddin meminta kerjasama ketua masyarakat merekodkan setiap kelahiran di rumah panjang..

Katanya, sasaran untuk menyelesaikan masalah penduduk tanpa kewarganegaraan di Sarawak menjadi agenda utama kementerian.

“Sekiranya tidak diselesaikan segera, ia bukan saja memberi kesan kepada individu terbabit, malah turut mengundang masalah lain terutama aspek keselamatan,”ujarnya.

“Sebab itu saya membuat keputusan untuk turun padang bagi melihat sendiri masalah ini,” tambahnya.

Tiada ulasan: