Isnin, 14 September 2009

PAS pantau keselamatan rakyat M'sia di Indonesia

Abdul Rahim Sabri


PAS akan mengutuskan segera rombongan ke Indonesia untuk memantau tahap keselamatan rakyat dan pelajar Malaysia di sana, ekoran insiden sekumpulan rakyat republik itu yang bersenjatakan buluh runcing, mengancam rakyat negara ini, minggu lalu.

Perkara itu dinyatakan oleh ahli jawatankuasa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi selepas mengadakan pertemuan dengan pihak Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur pagi ini.

Dr Syed Aman juga merupakan pengerusi lajnah antarabangsa PAS. Turut sama dalam pertemuan itu ialah Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub yang juga ahli parlimen Kubang Krian.

Dalam pertemuan tersebut, mereka mengadakan perbincangan selama 40 minit dengan Timbalan Duta Indonesia, Tatang b Razak di kedutaan tersebut mulai jam 12.30 tengahari tadi.

Dr Syed Azman berkata, dalam pertemuan itu juga, pihak kedutaan memberi jaminan tentang keselamatan rakyat dan pelajar Malaysia di republik itu

"Ia adalah satu jaminan yang kita yakin bahawa kerajaan Indonesia akan melaksanakannya dengan baik.

"Kita ingin memberi khabar kepada pelajar kita yang berada di Indonesia, dan juga ibu bapa mereka di Malaysia, bahawa keselamatan mereka terjamin setakat ini," katanya.

Isu buruh

Manakala Salahuddin pula berkata ketegangan sejak akhir-akhir ini dalam hubungan Malaysia-Indonesia, disebabkan beberapa faktor, antaranya isu tenaga buruh republik itu yang bekerja di negara ini.

Oleh itu, katanya, dalam sesi sidang Dewan Rakyat mulai 19 Oktober depan, ahli parlimen Pakatan Rakyat akan mendesak kerajaan supaya menyegerakan pindaan Akta Buruh untuk melindungi pekerja Indonesia di negara ini.

"Kami ahli parlimen Pakatan Rakyat akan memastikan Kementerian Sumber Manusia membawa cadangan pindaan dan semakan beberapa perkara yang melibatkan isu pekerja pembinaan atau buruh asing di negera ini.

"Yang penting, kita ambil kesempatan dalam sidang parlimen untuk bincang semua perkara berhubung pernguatkuasaan undang-undang, (bagaimana) pindaan undang-undang itu dapat dilaksanakan dan suasana kondusif diperlukan untuk masa depan kedua negara.

"Kerajaan harus bertindak drastik meminda Akta Buruh untuk memberi perlindungan kepada perkerja Indonesia di negara kita," katanya.

Menurutnya, isu mengenai pekerja asing itu telah dibahaskan di parlimen sejak 1999 lagi, tetapi akta tersebut masih belum dipinda.

Katanya, jaminan penguatkuasaan dengan lebih telus dan serius dapat memastikan hubungan kedua-dua negarra menjadi bertambah lebih baik.

Selain itu, kata Salahudin, isu pembantu rumah yang tertangguh sejak dua bulan lalu juga memerlukan penyelesaian segera.

"Perlu ada perjanjian yang lebih menjamin kebajikan pembantu rumah.

"Tidak semua pembantu rumah yang memberi masalah kepada majikan. Oleh itu, kerajaan didesak membuat penguatkuasaan terhadap majikan yang zalim.

Tiada ulasan: