Tinggal kenangan... Begitulah perasaan Draviam Arul Pillay - penduduk tertua di Kampung Buah Pala - yang dilanda kepiluan yang amat sangat ketika menyaksikan rumahnya dirobohkan hari ini.
Penduduk lain turut bersama menyaksikan para pekerja merobohkan rumah keluarga Draviam dengan diawasi oleh anggota polis.
Anaknya, Thavamani, tidak dapat menahan air matanya sewaktu melihatkan kerja-kerja perobohan rumah keluarganya itu.
"Kami bina kampung ini... ianya milik kami. Kini mereka rampas tempat tinggal kami," kata Thavamani yang ditenangkan oleh anggota keluarganya.
Selepas merobohkan sebahagian rumah Draviam, pekerja berkenaan beralih ke rumah penolong setiausaha persatuan penduduk, C Tharmaraj.
Bagaimanapun, ibunya R Indrani, 62, mencetuskan kekecohan apabila dia mengancam untuk membakar dirinya ketika pekerja berkenaan sedang merobohkan pagar rumahnya.
Dia kemudiannya mengeluarkan mancis dan mengancam untuk menyalakan dirinya jika pekerja terbabit tidak beredar dari situ.
Melihat tindakan Indrani itu yang turut menjerit ke arah mereka, para pekerja berkenaan terus beredar dari situ.
Anaknya, Thanaselan menenang ibunya itu dan membawanya masuk ke dalam rumah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan