Isnin, 14 September 2009

'Berubah atau kita diubah' - Shafie

UTUSAN ONLINE


SEMPORNA - Barisan pemimpin dan ahli-ahli Barisan Nasional (BN) perlu melakukan perubahan segera bagi mengelak mereka 'diubah' pengundi pada pilihan raya akan datang.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pemimpin dan ahli-ahli BN tidak mempunyai pilihan melainkan berubah dari segenap aspek termasuk dalam soal budaya serta kepimpinan.

''Satu lagi, kita mesti mengelak daripada terlalu banyak menimbulkan kontroversi kerana ia akan memberikan kelemahan kepada parti kita," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan wang sara hidup secara tunai kepada 456 nelayan kawasan Semporna di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Abdul Rahim Ismail; Ahli Dewan Undangan Negeri Sulabayan, Datuk Nasir Tun Sakaran dan wakil Ketua Pengarah LKIM, Zainal Mohd. Ali.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas ingatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya pemimpin parti-parti komponen BN tidak hanya popular di kalangan ahli parti sedangkan pada masa sama mereka gagal memenangi hati rakyat.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN berkata, jika pemimpin terbabit lupa menjadi popular di kalangan rakyat, mereka sudah pasti akan dihukum dalam pilihan raya akan datang.

Shafie menegaskan, jawatan dalam parti tidak akan memberi makna jika BN kehilangan kuasa memerintah.

''Jadi amat penting bagi kita bila sudah mendapat tempat dalam parti, untuk memastikan sokongan itu diterjemahkan dengan mendapat sokongan padu akar umbi, sama ada dari dalam atau luar parti," katanya.

Belia menambah, kegagalan pemimpin dan ahli BN melakukan perubahan akan menyebabkan kuasa yang ada pada hari ini lenyap.

''Jika kuasa sudah tiada bagaimana kita hendak memerintah, membantu ahli-ahli parti yang sebelum ini telah menyokong kita," katanya.

Tegasnya, pemimpin BN pada masa ini sepatutnya tidak terlalu sibuk hendak merebut jawatan, sebaliknya memastikan perkhidmatan kepada rakyat diperhebatkan supaya tidak kehilangan kuasa.

Tiada ulasan: