Isnin, 14 September 2009

Pasport alternatif tetap selamat walau harga rendah

UTUSAN ONLINE


BANGI - Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) Alternatif tidak mempunyai kekurangan dari aspek keselamatan walaupun kos untuk memilikinya dikurangkan.

Malah, Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, apa jua peningkatan ciri-ciri keselamatan yang sedang dirangka, kerajaan sekarang akan membabitkan PMA Alternatif itu.

"Penurunan harga dan tempoh sah laku PMA Alternatif adalah keputusan yang logik, malah ia tidak membuatkan kerajaan berbelanja lebih dan berkompromi dengan ciri-ciri keselamatannya.

"PMA Alternatif adalah sama dengan pasport sekarang, tetapi ia telah dipertimbangkan secara praktikal untuk rakyat yang tidak menggunakannya secara kerap," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Akademi Latihan Pertahanan Awam (Alpha) dan menyempurnakan majlis pelancaran Pakaian Seragam Baru Jabatan Pertahan Awam Malaysia (JPAM) di sini hari ini.

Turut hadir timbalannya, Datuk Wira Abu Seman Yusop dan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Mahmood Adam.

Semalam, Hishammuddin mengumumkan KDN akan memperkenalkan PMA Alternatif mampu milik dengan harga RM100 untuk 32 muka surat dengan tempoh sah laku dua tahun.

Pada masa ini, terdapat dua kategori pasport dari aspek kos pemilikan iaitu RM300 untuk 32 muka surat dan RM600 untuk 64 muka surat dengan tempoh sah laku lima tahun.

Mengenai usaha meningkatkan ciri-ciri keselamatan pasport, Hishammuddin yang tidak menjelaskannya secara terperinci berkata, ia membabitkan kerjasama dengan United Kingdom (UK) yang pernah membangkitkan isu mengenai pasport negara ini.

Katanya, ciri-ciri keselamatan baru itu akan dipastikan setanding dengan standard antarabangsa.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, perubahan pakaian seragam baru JPAM daripada hijau kepada biru cerah adalah selaras dengan warna uniform Pertubuhan Pertahanan Awam Antarabangsa (ICDO).

Katanya lagi, piawaian warna yang sama digunakan di Singapura, Ireland, UK dan New Zealand.

Terdahulu, Hishammuddin berkata, pasukan Sukarelawan Simpanan Polis (SSP) membabitkan anggota JPAM dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) telah memulakan pengambilan pertama seramai 249 orang bulan lalu.

Tiada ulasan: