Rabu, 2 September 2009

Banjir melimpah ke Perak

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI dan SITI KAMILAH MUSTAPHA


TANJUNG MALIM - Lebih 40 keluarga dari empat buah kampung di sini terpaksa bersahur dalam keadaan tidak selesa selepas rumah mereka dinaiki air melebihi paras satu meter pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 pagi itu, tiga keluarga yang tinggal berhampiran sebatang sungai terpaksa dipindahkan ke penempatan sementara di Dewan Tun Razak di sini.

Antara kampung yang terlibat ialah Kampung Berop, Cabang Lima, Ketoyong dan Batu 7 di Kampung Sungai Sekiah.

Banjir secara tiba-tiba itu juga menyebabkan kebanyakan penduduk tidak sempat menyelamatkan barang-barang perabot serta perkakasan elektrik di dalam rumah.

Seorang penduduk Kampung Berop, Maznah Ahmad, 46, berkata, air mula memasuki rumah secara tiba-tiba sebaik selepas dia selesai bersahur menyebabkan barangan elektrik rosak kerana tidak sempat diselamatkan.

Seorang lagi penduduk. Mohd. Latip Tomina, 54, pula meminta kerajaan negeri menimbus Sungai Bekop supaya kampung itu tidak lagi dinaiki air setiap kali hujan lebat.

Katanya, masalah itu berlaku kerana semua air dari taman-taman perumahan di bandar Tanjung Malim masuk ke Sungai Bekop yang kecil dan tidak sempat mengalir ke Sungai Bernam.

Tiada ulasan: