Yang Dipertua Pas Shah Alam, Khalid Abdul Samad menafikan khabar angin terbaru yang menyatakan beberapa Exco dan Ahli Dewan Negeri (ADUN) Selangor akan menyertai UMNO tidak lama lagi.
Menurut Khalid, beliau melihat berdasarkan keputusan pilihan raya yang terbaru jelas bahawa rakyat bersama Pakatan Rakyat (PR).
“Bagi saya tidak mungkin mereka akan lompat parti, kalau ada orang hendak lompat biar dia tenggelam dengan kapal yang hendak karam itu (UMNO). Saya rasa tidak ada orang yang terlibat di dalam politik sebodoh itu, harapan mereka bahawa lompat itu akan menyebabkan rakyat berpaling dari PR jelas terbukti meleset.
“Sokongan yang dicapai di Permatang Pasir seperti mana di tahun 2008, kita telah mendapat 65 peratus daripada jumlah undi yang dibuang. Walaupun BN turun dengan segala kekuatan mereka, saya rasa jelas terbukti bahawa kerajaan PR ‘in waiting’. Rakyat sedang menunggu untuk hendak bersama kita (PR),” katanya.
Khalid berkata, UMNO perlu faham, rakyat sudah menolak politik UMNO/BN dan sekiranya ada Exco yang hendak lompat mereka hanya akan menjadi ADUN kerana kerajaan PR masih terus memerintah Selangor.
Beliau berkata, kalau ahli politik yang melihat trend dalam masyarakat dia tidak akan lompat masuk BN kerana PR telah mengalahkan BN 7-0 dalam tujuh pilihan raya kecil.
“Kalau ada ahli politik hendak sertai parti yang dapat 0, betul-betul bodoh la. Katakanlah kalau ada sembilan yng lompat, dia boleh tubuh kerajaan sampai bila... pilihan raya umum dua tahun lagi. Dia hendak pegang untuk dua tahun bolehlah tetapi akhirnya pilihan raya umum, kita akan menang lagi.
“Kalau ada pun itu hanyalah propaganda UMNO dari dulu, mereka beri gambaran PR tidak stabil, PR hendak berpecah tetapi rakyat tidak percaya dan terbukti di Permatang Pasir walaupun Radhzi keluar,” katanya.
Beliau turut menasihati BN jika ingin berperanan dalam arena politik pada masa depan, mereka perlu berubah dan tidak menggunakan propaganda politik
Khalid berkata, BN perlu menerima hakikat bahawa UMNO yang menyebabkan Melayu berpecah belah.
Melayu dan Islam hanya akan bersatu sekiranya semua ahli UMNO sertai Pas dan PKR, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan