TV SELANGOR
Tiada kelulusan baru diberikan untuk membina rumah ibadat seperti kuil, tokong atau gereja, sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran negeri Selangor selepas pilihanraya umum 2008 lalu.
Sebaliknya, Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata, setakat ini kerajaan negeri hanya menyelesaikan hak milik tanah bagi rumah ibadat yang telah didirikan.
Katanya, ia sekaligus menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa banyak rumah ibadat bukan islam diluluskan, sebaik sahaja Pakatan Rakyat memerintah Selangor.
“Dalam isu ini, saya fikir Pakatan Rakyat meluluskan tanah untuk tempat-tempat ibadat ini bukanlah tanah yang baru, tetapi tanah-tanah yang lama, yang mana kuil telahpun didirikan dan sebab backlock permintaan orang adalah ramai.
“Kerajaan yang dulu tidak ambik prihatin, dan mereka gunakan taktik melambat-lambatkan proses untuk memberi hak milik tanah, sekarang kita telah cepatkan proses memberi hak milik tanah itu kepada selain islam,” katanya.
Dr Xavier berkata demikian dalam temuramah ekslusif bersama TvSelangor, di Shah Alam, semalam.
Katanya, ia adalah propaganda Barisan Nasional untuk memburuk-burukkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang berusaha menyelesaikan masalah yang gagal ditangani kerajaan terdahulu.
Dalam pada itu, Dr Xavier berkata, pemindahan tapak kuil yang dilakukan adalah disebabkan tapak sedia ada tidak sesuai dan menerima desakan daripada penduduk setempat untuk dipindahkan.
Bagaimanapun, semua keputusan dicapai selepas kerajaan mengadakan rundingan dengan pihak terbabit, khususnya pihak kuil dan penduduk berhampiran.
“Saya nak ingatkan kepada rakyat Selangor, jangan takut dengan propanganda BN, kata kerajaan Pakatan Rakyat beri banyak tanah kepada tempat ibadat selain islam, itu tak betul sebab kalau kita kira ada lebih masjid dan surau berbanding tempat ibadat lain, org bukan melayu tak bantah dan faham, pada masa sama, kena bagi hak kepada orang-orang tempatan untuk adakan tempat ibadat masing-masing,” katanya.
Di samping itu, kata Dr Xavier, sebarang keputusan berkaitan pemberian hak milik tanah ini akan dibuat berdasarkan keputusan Jawatankuasa Ibadat yang bermesyuarat dua bulan sekali bagi meneliti masalah-masalah berkaitan rumah ibadat selain Islam.
Melalui mesyuarat jawatankuasa ibadat ini, perbincangan akan diadakan bersama NGO, pegawai daerah, pegawai perancang majlis perbandaran dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), sebelum sebarang tindakan dilakukan.
“Jawatankuasa ini kita adakan mesyuarat tiap-tiap dua bulan sekali dalam satu tahun. Kita adakan ini sebab selama ini ada masalah kuil yang belum diselesaikan dalam negeri Selangor dan kita tidak boleh tutup mata atas perkara ini.
“Ini kehendak mereka dan memberi peluang kepada mereka untuk adakan tempat-tempat ibadat masing-masing,” katanya.
Tambah Dr Xavier lagi, masalah rakyat ini tidak boleh dipandang ringan kerana mereka berhak mempunyai tempat ibadat masing-masing, mengikut keperluaan di sesebuah kawasan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan