BERNAMA
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengarahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan untuk menyiasat satu insiden di Shah Alam hari ini mengenai penggunaan kepala lembu oleh sekumpulan penunjuk perasaan untuk melahirkan kemarahan terhadap Kerajaan Negeri Selangor.
Menurut Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam, Najib memaklumkan perkara itu kepadanya selepas beliau memberitahu Perdana Menteri mengenai insiden yang berlaku di luar bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor selepas solat Jumaat semalam.
"Perdana Menteri telah berjanji akan meneliti perkara dan mengarahkan KPN bertindak segera menangani perkara itu," kata Dr. Subramanian dalam satu kenyataan di sini. Dalam insiden itu, sekumpulan orang dikatakan penduduk Seksyen 23 di Shah Alam meletakkan kepala lembu di hadapan pintu masuk bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor sebagai tanda bantahan terhadap pembinaan sebuah kuil Hindu di Seksyen 23.
"Perdana Menteri berkata beliau amat kecewa dengan insiden berkenaan dan mahu masalah itu ditangani seawal mungkin," kata Dr. Subramaniam.
Setiausaha Agung MIC itu berkata, sementara Perdana Menteri memperkenalkan gagasan 1Malaysia dan perpaduan kaum, "tindakan sedemikian akan menghalang proses perpaduan".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan