Isnin, 31 Ogos 2009

Bangunan latihan Utusan disamun, RM600,000 dilarikan

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Beberapa cek bernilai lebih setengah juta ringgit serta wang tunai RM8,000 milik Utusan Melayu (Malaysia) Berhad dilarikan daripada sebuah peti besi yang ditempatkan di Pusat Latihan dan Pemasaran akhbar itu di Jalan Chan Sow Lin pagi ini.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Ahmad Amir Mohd Hashim berkata kejadian itu disedari kira-kira pukul 7.30 pagi oleh seorang pekerja di bangunan dua tingkat itu setelah melihat peti besi yang menyimpan cek pembayaran sebanyak RM584,000 oleh vendor dan ejen serta wang tunai itu terbuka dan mempunyai kesan digergaji dan diumpil.

"Pekerja tersebut masuk ke pejabatnya pukul 5.45 pagi sebelum menyedari peti besi yang berada di tingkat satu bangunan itu terbuka dua jam kemudian. Adalah dipercayai kejadian samun itu berlaku antara pukul 8 malam dan 4 pagi," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.

Beliau berkata polis tidak menolak kemungkinan kejadian itu dilakukan oleh orang yang arif dengan selok belok bangunan berkenaan memandangkan tiada sebarang kesan pecah masuk pada bangunan itu.

"Kita tidak menolak kemungkinan ia didalangi oleh orang dalam kerana kerja mengumpil dan menggergaji peti besi untuk membukanya bukan kerja mudah dan ia mengambil masa sekurang-kurangnya tiga atau empat jam," katanya.

Beliau berkata bangunan itu yang pernah disamun sebelum ini, tidak dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) ditambah dengan kawalan pengawal keselamatan yang longgar.

Katanya ketika kejadian kesemua pintu masuk dikunci dan hanya boleh dibuka setelah diaktifkan menggunakan sejenis kunci.

"Kita akan siasat sistem yang digunakan itu, adakah peluang untuk orang tidak berkenaan masuk sesuka hati dan kita sedang mengesan sekiranya ada cap jari.

"Kita juga akan ambil keterangan semua orang yang berkaitan termasuk pengawal keselamatan dan mereka yang keluar masuk bangunan ini bagi membantu siasatan," katanya.

Tiada ulasan: