Sabtu, 29 Ogos 2009

32,900 permohonan warganegara siap tahun ini

UTUSAN ONLINE


PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan akan menyelesaikan kesemua 32,900 permohonan rakyat asing untuk menjadi warganegara Malaysia yang tertangguh sebelum hujung tahun ini.

Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Mahmood Adam berkata, sehingga kini lebih 50 peratus daripada jumlah tersebut sudah pun siap.

Katanya, sebuah pasukan khas yang baru ditubuhkan mampu memproses 500 permohonan sehari.

"Ini janji kita (KDN), sebelum akhir tahun kesemua permohonan sebelum 2008 akan selesai. Dengan adanya pasukan khas ini, proses tersebut mampu dilakukan lebih cepat dan telus," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau sebelum itu memberikan taklimat kepada sekumpulan pemberita yang melakukan tinjauan ke bilik operasi bagi memproses permohonan kewarganegaraan Malaysia.

Menurut Mahmood, punca utama kelewatan proses permohonan adalah maklumat yang diterima tidak lengkap.

Selain itu, beliau memberitahu, terdapat kira-kira 5,800 permohonan telah ditolak oleh Jabatan Imigresen dan sedang menunggu rayuan daripada KDN.

Jelasnya, sehingga kini terdapat 370,000 orang memiliki taraf penduduk tetap (PR) di negara ini.

Tiada ulasan: