Oleh Zukri Aksah
Hanya kerana sebuah Mahkamah Tinggi Syariah di negeri ini menjatuhkan hukuman sebatan (ringan) ke atas seorang pesalah wanita yang mengaku meminum arak di tempat awam, maka ia menjadi polemik nasional, padahal perundangan sivil negara kita sudah lama mempunyai peruntukan hukuman yang sama, sebatan dan juga bunuh.
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi dalam komentarnya mengulas bahawa tindakan merotan dengan sekuat-kuatnya dengan menggunakan rotan yang besar dan mencederakan dengan satu kecederaan yang parah adalah suatu yang bercanggah dengan kaedah sebatan dalam Islam.
Sedangkan, tambah Nasrudin, hukuman sebatan untuk kesalahan seperti meminum arak bukanlah bertujuan untuk menyiksa, tetapi lebih kepada memberi pengajaran. Bahkan cara-cara menyebat mengikut Islam telah diperincikan dalam Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 Negeri Pahang, Seksyen 125 dan 126.
Menurut beliau, garis panduan perlaksanaan hukuman sebatan mengikut Islam adalah seperti berikut:
1. Mahkamah atau Kerajaan Negeri menentukan dimana hukuman itu hendak dilaksanakan.
2. Pesalah mesti diperiksa oleh Doktor Kerajaan tentang tahap kesihatannya untuk menjalani hukuman sebat itu.
3. Alat untuk digunakan adalah rotan atau ranting kecil pokok yang berukuran panjang tidak lebih dari 1.22 meter (4 kaki) dan tebalnya 1.25cm (1/4 inci).
4. Orang yang akan menyebat itu mestilah seorang yang adil dan matang.
5. Tukang sebat itu mesti gunakan kekuatan yang sederhana tanpa mengangkat tangannya lebih dari paras kepala supaya tidak melukakan kulit.
6. Selepas mengenakan satu sebatan dia hendaklah angkat alat sebatan itu keatas dan tidak menariknya.
7. Sebatan boleh dikenakan ke seluruh badan kecuali muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit.
8. Pesalah yang disebat hendaklah berpakaian mengikut Hukum Syarak.
9. Pesalah lelaki disebat dalam keadaan berdiri dan perempuansecara duduk.
10. Perempuan yang hamil tidak boleh disebat dan mesti tunggu selepas 2 bulan dia melahirkan anaknya.
Nasrudin, dalam kenyataannya turut mendedahkan tentang seorang saintis Rusia, Dr Marina Chuhrova yang mempunyai sepuluh orang pesakit ketagih arak yang menjalani rawatan terapi merotan. Pada asalnya pesakit-pesakit ini tidak menyukai kaedah ini tetapi apabila ia mula memberi kesan positif, mereka bertukar menjadi suka, sehingga mereka sanggup membayar lebih kurang RM400 untuk satu sesi rawatan.
Tambah Nasrudin dalam pendedahannya, ahli biologi, Dr Sergei Speransky yang mengetuai kajian itu, mendakwa hukuman jasmani boleh membantu seseorang menangani masalah ketagihan dan tekanan. Sergei mengesahkan yang beliau bukan sadis walaupun beliau mencadangkan kaedah merotan atau menyebat, dan kaedah itu ternyata berkesan.
Kaedah ini biasanya melibatkan 30 sesi atau paling baik 60 sesi.
Persoalannya, dimanakah tidak moderatnya hukuman sebat untuk peminum arak ini?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan