Ahad, 23 Ogos 2009

Tawan pengundi guna 'formula Manek Urai'

BERITA HARIAN ONLINE


JELI: Pendekatan kempen pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Kelantan, baru-baru ini, yang kini diguna pakai sepanjang kempen di DUN Permatang Pasir, Pulau Pinang, menunjukkan masyarakat kawasan itu ingin kembali kepada Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed, berkata pendekatan di Manek Urai yang lebih menjuruskan kepada mendekati rakyat, selain tidak membanggakan diri, sudah terbukti berjaya menarik pengundi menyokong BN.

Kini katanya, adaptasi strategi Manek Urai di Permatang Pasir juga sudah berjaya menawan pengundi apabila didapati sebahagian besar daripada mereka sudah menunjukkan minat untuk menyokong BN pada pilihan raya DUN itu Selasa depan.

"Umno Kelantan yang disertai jentera Wanita, Pemuda dan Puteri sudah berkampung di Permatang Pasir dan menggunakan pengalaman di Manek Urai untuk menarik pengundi menyokong BN.

"Pendekatan Manek Urai secara mendekati rakyat dari rumah ke rumah, selain tidak meninggi diri kini sudah menunjukkan kemajuan di Permatang Pasir apabila mendapati mereka yang tidak mengundi BN tahun lalu, kini berubah dengan menyokong BN," katanya selepas majlis penyampaian sumbangan berbuka puasa Parlimen Jeli, di Kompleks Umno Jeli, dekat sini, semalam.

"Saya harap momentun menyokong BN akan berterusan dalam tempoh dua hari lagi dan seterusnya direalisasikan pada Selasa ini," katanya selepas majlis penyampaian sumbangan berbuka puasa Parlimen Jeli, di Kompleks Umno Jeli, dekat sini, semalam.

Beliau memberitahu pemberita demikian apabila diminta pandangan mengenai harapan BN dalam pilihan raya DUN Permatang Pasir yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu iaitu calon Barisan Nasional (BN), Rohaizat Othman dan Mohd Salleh Man (Pas).

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata beliau kecewa dengan budaya baru dibawa pembangkang pada pilihan raya Permatang Pasir, bertindak ala gengster seperti dilakukan Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan.

Katanya, rakyat Malaysia terutama pengundi di Permatang Pasir sudah harus bijak berfikir dan menolak pihak yang bersikap sedemikian demi keamanan negara.

"Rakyat harus menolak budaya baru dibawa pembangkang dan jangan jadikan isu pembangkang itu mempengaruhi kita," katanya.

Tiada ulasan: