Ahad, 2 Ogos 2009

Tambah tuntutan, Manohara diminta jelaskan RM1.1 juta

Tengku Temenggong Kelantan buat pindaan; tuntutan asal RM972,750

BERNAMA


KOTA BAHARU: Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra hari ini membuat pindaan tuntutan terhadap isterinya Cik Puan Temenggong Manohara Odelia Pinot bagi mengembalikan semula hutang sebelum dan selepas berkahwin daripada RM972,750 kepada RM1,112,250.

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Mohd Yusof Awang membenarkan permohonan pindaan secara lisan itu melalui peguam plaintif Zainul Rijal Abu Bakar tanpa dibantah peguam mewakili Manohara, Mohd Faiz Adnan.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Zainul Rijal berkata, pindaan itu kerana terdapat beberapa lagi dokumen yang membuktikan Manohara berhutang lebih RM1 juta.

Terdahulu, ketika prosiding, Mohd Yusof menolak permohonan Mohd Faiz untuk membenarkan dua peguam pemerhati mewakili Manohara untuk duduk di bangku pembelaan kerana kedua-dua mereka bukan peguam syarie yang diiktiraf oleh pihak berkuasa Kelantan.

Abdullah Anuar Sahri dan Khairil Nizam Yub kemudiannya akur dengan keputusan itu dan duduk di galeri awam bagi mendengar prosiding.

Mahkamah turut menyaksikan peguam plaintif menyerahkan semula dua saman tuntutan terhadap Manohara kepada peguamnya apabila dimaklumkan saman itu tidak diterima anak guamnya.

Dua saman yang diserahkan itu adalah menuntut Manohara agar kembali taat kepada suaminya dan saman kedua berkaitan tuntutan hutang.

Mohd Yusof kemudiannya menetapkan 5 Oktober pada pukul 2.30 petang sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan dan memberikan masa selama 14 hari sebelum tarikh berkenaan bagi membolehkan pihak defendan memfailkan pembelaan.

Mohd Faiz berkata, beliau akan menunggu perintah anak guamnya untuk segera memfailkan pembelaan itu dan memmaklumkan Manohara juga bersedia memberikan kenyataan di mahkamah jika perlu.

Prosiding hari ini juga turut dihadiri beberapa wartawan Indonesia.

Pada 4 Julai lalu, Tengku Muhammad Fakhry memfailkan dua saman iaitu menuntut agar isterinya kembali taat dan menyerahkan semula hutang.

Hutang itu termasuk pemberian jam jenama Audemars Piguet bernilai RM174,000 dan selebihnya adalah kiriman wang sebanyak enam kali bagi kegunaan defendan dan ibunya.

Kedua-dua saman berkenaan masingmasing difailkan di Mahkamah Rendah dan Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Tiada ulasan: