Isnin, 24 Ogos 2009

Ramai kecewa tiket bas balik raya sudah habis dijual

SINAR HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: – Rata-rata perantau di Lembah Klang yang berasak-asak di Hentian Puduraya untuk mendapatkan tiket balik ke kampung masing-masing menjelang Hari Raya Aidilfitri kecewa apabila tiket yang dijual telah kehabisan seminggu sebelum Ramadan.

Muhd Khairollesyam Yusuf, 29, berkata, maklumat mengenai kehabisan tiket hari raya sudah diketahui sebelum Ramadan seperti yang dimaklumkan oleh rakan-rakan tetapi dia tetap mencuba nasib untuk mendapatkkan hari ini.

“Hari ini saya datang juga untuk mencuba nasib dan nyata saya sangat kecewa apabila diberitahu semua tiket ke Utara sudah habis dijual seminggu lalu,” katanya.

Nurul Nadia Rosdi, 18, berkata, dia sudah membuat keputusan balik ke kampung lebih awal turut hampa memandangkan tiket habis sebelum puasa.

“Saya amat kecewa dengan apa yang berlaku namun perkara seumpama ini sentiasa terjadi bila menjelang hari raya. Saya ingin menggesa pihak berkenaan supaya perkhidmatan bas ke semua destinasi ditambah bagi memenuhi keperluan pengguna di musim perayaan,” katanya.

Bagi Zaidatul Natrah, 18, orang ramai sepatutnya mendapatkan tiket lebih awal supaya tidak mengalami masalah pulang berhari raya.

Sementara itu, seorang penjual tiket, Mohd Tarmizi Rashid, 25, semua tiket perjalanan ke utara bermula 16 hingga 19 September sudah habis dijual sebelum Ramadan lagi.

“Tiket untuk hari-hari lain sebelum dan selepas tarikh ini masih ada dijual namun dalam kuantiti yang sedikit,” katanya.

Tiada ulasan: