Sabtu, 22 Ogos 2009

Pemilihan MIC: 3 tanding timbalan presiden, 8 bagi naib presiden

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Pertandingan bagi merebut jawatan Timbalan Presiden MIC bagi pemilihan parti itu menyaksikan persaingan tiga penjuru antara penyandang, Datuk G. Palanivel; bekas timbalan presiden, Datuk S. Subramaniam dan Naib Presiden, Datuk S. Sothinathan.

Lapan calon mencuba nasib untuk tiga jawatan Naib Presiden, termasuk Setiausaha Agung parti dan Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam; Ketua Penerangan dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk M.Saravanan; serta Bendahari Agung dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk S.K.Devamany.

Turut menyertai saingan itu ialah ahli perniagaan dan bekas Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan Datuk V.K.K.Teagarajan; bekas anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) K.P Samy; Pengerusi MIC Bahagian Jelebu P.Mariayee yang juga calon wanita tunggal untuk jawatan itu; ahli perniagaan dan anggota CWC Datuk S.Balakrishnan; serta Naib Pengerusi MIC Bahagian Kelana Jaya P.Subramaniam.

Sejumlah 65 orang akan bertanding bagi jawatan dalam badan pembuat keputusan parti iaitu Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC), yang menawarkan 23 tempat.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Datuk P.Vijayanathan mengumumkan senarai penuh calon selepas proses pencalonan selama dua jam ditutup pada 12 tengah hari Sabtu ini.

Buat julung kalinya, tiga calon Naib Presiden yang dipersetujui oleh Samy Vellu -- Dr S.Subramaniam, Saravanan dan Devamany -- adalah calon yang menjawat jawatan kerajaan di peringkat persekutuan.

Dengan lapan orang yang bertanding untuk jawatan itu, ketiga-tiga mereka, yang bersaing buat kali pertama untuk dipilih sebagai Naib Presiden, berdepan cabaran getir berbanding calon lain.

Sementara itu, bekas Timbalan Presiden parti, Subramaniam yang menduduki kerusi nombor dua parti sejak 1981 sehingga dikalahkan Palanivel pada 2006 dengan 438 undi, akan berdepan Palanivel buat kali kedua dalam usahanya untuk memenangi kembali jawatan Timbalan Presiden dengan harapan dapat menggantikan Presiden parti Samy Vellu yang merancang untuk bersara pada 2012.

Masa depan politik Palanivel, Subramaniam dan Sothinathan, yang pernah menjadi anak didik Samy Vellu, akan ditentukan oleh kira-kira 1,400 perwakilan pada pemilihan parti 12 Sept ini.

Seorang lagi Naib Presiden parti Datuk S.Veerasingham memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatannya manakala Tan Sri K.S.Nijhar pula meletak jawatan ekoran perselisihan faham dengan Samy Vellu.

Daripada 65 calon yang akan merebut jawatan dalam CWC, 38 orang akan menentang 27 calon yang dipersetujui dan disokong oleh Samy Vellu.

Presiden parti mengekalkan 12 penyandang untuk berada dalam senarai rasmi CWC beliau.

Samy Vellu memberitahu pemberita beliau memutuskan untuk memperakukan 27 calon bagi memberikan lebih banyak pilihan kepada perwakilan untuk memilih anggota CWC dalam kalangan calon pilihan beliau.

Sementara itu, kira-kira 1,000 anggota parti dan pemerhati berpusu-pusu ke ibu pejabat MIC seawal 8 pagi bagi menyatakan sokongan kepada pemimpin masing-masing.

Penyokong bekas Timbalan Presiden Subramaniam dilihat membawa sepanduk memaparkan tema "Change for the better" dalam bahasa Tamil dan Inggeris serta diiringi kumpulan muzik tradisional India.

Subramaniam mengemukakan kertas pencalonannya pada 10.17 pagi, diikuti Palanivel pada 11.35 pagi, kira-kira 25 minit sebelum pencalonan ditutup.

Sothinathan menjadi calon pertama menyerahkan borang untuk jawatan Naib Presiden, kira-kira 10.05 pagi.

Samy Vellu berkata di sebalik sokongan yang diberikannya, beliau mahu semua calon yang diperakuinya supaya bekerja keras dan turun padang bagi memenangi hati serta minda perwakilan.

Katanya, beliau yakin kempen pemilihan parti akan berjalan lancar memandangkan kalangan anggota parti berada dalam keadaan yang sangat bersemangat.

Tiada ulasan: