Isnin, 24 Ogos 2009

Majalah baru Zunar usik PM

Jimadie Shah Othman
(kemaskini 1.36pm)



Kartunis politik terkenal Zulkiflee Anwar Haque akhirnya kembali bergelumang bersama dunia kreatif melalui majalah Gedung Kartun setelah meninggalkan organ PKR Suara Keadilan beberapa bulan lalu.

Berslogankan "majalah jenaka alternatif", terbitan sulung dwibulanan itu memaparkan gelagat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang tersilap mengibarkan bendera Mongolia bersempena sambutan hari kemerdekaan negara (foto kiri).

Edisi awal September kini sudah berada di pasaran.

Selain kartun, Gedung Kartun turut memuatkan artikel berbentuk satira politik oleh ramai penulis kreatif yang aktif di atas pentas seni alternatif antaranya Hishamuddin Rais, Pyanhabib dan Rahmat Haron.

Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, yang kini lantang menentang dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) turut menyumbang rencana dalam Gedung Kartun.

Selain tiga penulis rencana, ia disokong 12 kartunis sambilan, antaranya Cabai yang sebelum ini terkenal dengan siri "Tiga Dara Pingitan" (foto kanan).

Edisi sulung ini akan menyentuh pelbagai isu semasa, antaranya kes kematian Teoh Beng Hock, kenaikan kadar tol lebuh raya, dasar PPSMI dan akta kontroversi ISA.

"Kita juga akan muatkan kartun istimewa karya Dr Farish A Noor," kata Zunar, tanpa mendedahkan karya pengamat politik itu.

Dihubungi Malaysiakini baru-baru ini, Zulkiflee atau lebih popular dikenali Zunar berazam menerokai pasaran genre itu dengan tema "kartun alternatif" itu kerana, menurutnya, ia mempunyai pasaran yang besar.

"Ini yang pasaran mahukan. Kita lihat di Internet dan blog, banyak kartun berbentuk humor sebegitu.

"Ia bentuk yang orang suka, cuma tidak ada orang buat," katanya, yang bertindak sebagai ketua pengarang, yang terkenal dengan "kartun hidung besar" bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ditanya perbezaan menguruskan sebuah akhbar politik dan majalah kartun, Zunar berkata: "Tukar medium sahaja".

Menurutnya, idea menerbitkan majalah kartun dengan konsep sebegitu telah lama dirancang tetapi baru menjadi kenyataan kerana kesuntukan masa.

Dengan cetakan pertama sebanyak 10,000 naskhah, majalah tersebut akan berada di pasaran dua kali sebulan – pada 10 dan 20 hari bulan.

Majalah 68 halaman, terbitan Sepakat Efektif Sdn Bhd itu dijual di seluruh Malaysia dengan harga RM4 (Sabah dan Sarawak RM5).

Zunar, yang turut menyumbang karyanya kepada Malaysiakini, meninggalkan Suara Keadilan pada Mei lalu setelah empat tahun bertugas - dipercayai mangsa politik dalaman elit PKR.

Tiada ulasan: