Chen Shaua Fui, Merdeka Review
Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM) Selangor, Hishamuddin Hashim "yang disebut namanya dalam "surat misteri" yang tersiar semalam, telah mengambil "cuti kecemasan" (emergency leave) pada hari ini.
Wartawan MerdekaReview cuba menemuramah beliau berhubung kait tuduhan dalam "surat misteri" yang didedahkan dalam "Malaysia-Today", di pejabat beliau. Namun, staf pejabatnya memberitahu bahawa beliau telah mengambil cuti, dan tidak akan masuk ke pejabat pada hari ini.
Maka, wartawan gagal mendapat respon beliau berkenaan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya, sebagaimana yang disiarkan dalam "surat" tersebut.
Sementara itu, bekas Menteri Besar Selangor, Khir Toyo yang dikaitkan dengan "komplot menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor" dalam "surat misteri" yang terdedah semalam, menafikan segala tuduhan dalam blognya.
Beliau kini berada di Mekah, mendakwa bahawa sagala tuduhan dalam surat misteri tersebut berbentuk fitnah dan tohmahan, malah memaklumkan bahawa beliau akan membuat laporan polis setelah kembali ke tanah air.
Berikut adalah catatan yang dipetik dari blog Khir Toyo.
Catatan: Orang Lemas Mencari Tempat Berpaut
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih atas komen, pandangan dan juga doa sebahagian saudara/i agar saya saya selamat mengerjakan umrah.
Saya tidak akan membincangkan apa-apa isu dalam tulisan ini kecuali untuk menafikan tuduhan dan dakwaan kandungan surat layang yang didakwa dibuat oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Surat tersebut yang menjadi isu dalam inkues dan juga telah diterbitkan semula oleh semua laman web khabarnya menyatakan saya terbabit berkomplot dengan SPRM untuk menjatuhkan kerajaan Selangor hari ini. Saya ingin menyatakan semua tuduhan dalam surat tersebut yang membabitkan saya merupakan satu fitnah dan tohmahan semata-mata.
Kebanyakan siasatan Badan Pencegah Rasuah dan SPRM ke atas saya, termasuk isu banglo di Seksyen 7 dibuat oleh para pegawai daripada Ibu Pejabat di Putrajaya. Justeru sangat mengelirukan bagaimana Timbalan Pengarah SPRM Selangor dituduh melindungi saya.
Berikut beberapa pandangan saya mengenai surat tersebut:
1. Adalah tidak benar wujud sebarang komplot untuk menjatuhkan kerajaan negeri Selangor hari ini membabitkan saya. Malahan dakwaan komplot antara saya dengan SPRM ini sungguh melucukan kerana yang membuat laporan-laporan pencegahan rasuah ke atas pemimpin Pakatan ialah ahli parti mereka sendiri dan sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang banyak membantu Pakatan semasa sebelum pilihan raya lalu.
2. Saya tidak nampak bagaimana siasatan SPRM ke atas pemimpin Pakatan akan menjatuhkan kerajaan Selangor. Ini kerana proses siasatan, perbicaraan dan menjatuhkan hukuman termasuk proses rayuan boleh memakan masa sehingga 3-4 tahun. Dalam tempoh tersebut sudah tiada lagi pilihan raya kecil. Malah mungkin pilihan raya umum telah dilaksanakan. Justeru jika saya mahu menjatuhkan kerajaan Selangor hari ini, cara ini bukan sahaja tidak bijak malah hanya membuang masa dan tenaga. Jika benar ada rancangan menjatuhkan kerajaan Selangor dengan cara ini saya anggap ia kerja bodoh dan tidak cerdik.
3. Tiada gunanya saya merencanakan kejatuhan kerajaan Pakata selangor hari ini kerana mereka sendiri tidak lebih the shinking ship. Bagi saya lebih baik kerajaan ini terus memerintah sehingga pilihan raya akan datang agar rakyat dapat menilai baik buruknya BN dahulu dengan Pakatan hari ini.
4. Surat layang seperti ini bukanlah aneh dalam cara hidup Pakatan. Jika kita masih ingat pada 1998 dan 1999 banyak surat-surat menggunakan kepala surat (letterhead) Jabatan Perdana Menteri disebarkan di dalam web mahazalim untuk memburukkan kerajaan ketika itu. 10 tahun selepasnya, modus operandi masih sama rupanya.
5. Bagi saya ini merupakan taktik-taktik orang yang kelemasan dan sedang dihanyutkan arus deras mencari tempat berpaut menyelamatkan diri. Kerana saya dilihat terkehadapan dalam memantau dan menegur perjalanan kerajaan negeri maka saya dijadikan sasaran mereka.
6. Saya berharap tindakan tegas dapat diambil oleh pihak berkuasa mengenai surat layang ini. Insyaallah saya juga akan membuat laporan Polis dalam sedikit masa lagi sama ada selepas saya pulang dari Umrah atau meminta pegawai saya membuatnya dalam minggu ini.
Salam dari Mekah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan