Azamin Amin
PERMATANG PASIR : Walaupun 'mencuri' masa tidurnya yang sepicing itu, namun beliau dengan raut keletihan masih tenang dan tersenyum menyambut kedatangan kami.
Sambil meminta sikat daripada saya untuk menyisir rambutnya, beliau kemudiannya bersimpuh di lantai bersiap sedia untuk ditemubual. Begitu sederhana sikap Ustaz Salleh Mohd Man, tanggapan awal kami.
Sebenarnya,ketika itu kira-kira jam 8.30 malam, beliau sedang menunggu masuk waktu solat isyak sambil melabuhkan lena di bilik rehat Pusat Khidmat DUN Permatang Pasir kerana seharian suntuk memenuhi jemputan dan terlibat aktiviti bersama masyarakat dan tanpa banyak pilihan lain untuk mewawancara,melainkan kami 'mengganggu' satu-satu masa rehatnya yang ada.
Beliau yang dilihat agak malu dengan lensa kamera,cuba membetulkan kain pelikat dan kopiahnya sambil mencari posisi duduk yang baik dan mengambil buku nota kecil dari poket bajunya. Rupanya disitu terdapat catitan ringkas visi dan misi agenda beliau sebagai wakil rakyat.
"Ada catit ni...tak larilah jawapan nanti.Senang ini sebagai rujukan,"katanya yang dilihat begitu tertib dan tidak mahu jawapan 'kosong' dan tanpa makna diberikan kepada kami.
Bertanya bagaimana beliau menghadapi keadaan kehidupannya yang 'sekelip mata' berubah, tatkala bergelar calon PAS dan bakal wakil rakyat Permatang Pasir, Ustaz Salleh begitu bersahaja merendah diri menjelaskan keadaan.
Sebenarnya, berperang dan berjuang dalam pilihan raya bukanlah kali pertama bagi Ustaz Salleh Man.Sejak 1986, beliau pernah bertanding di 4 kawasan iaitu di DUN Sungai 2, Parlimen Tasik Gelugor, Pinang Tunggul dan Permatang Berangan. Beliau sudah diuji dan mangli.
"Penat terasa hilang bila tengok bakti yang ditunjukkan jentera kita yang bersemangat.
"Selain itu sokongan yang tinggi dari segi moral dan dengan sambutan kemesraan yang kita dapat dari para pengundi,mereka telah memberi harapan yang tinggi pada kita untuk teruskan apa yang Pak Hamdan (Allahyarham Dato'Hamdan Abdul Rahman) buat sebelum ini,"jelasnya dengan nada suara yang perlahan.
Sejak subuh pagi,lepas solat beliau turun dari rumah, ke tempat yang telah ditetapkan, bermula dari Pekan Permatang Pauh, sehingga petang. Hari ini sahaja, Ustaz Salleh sudah melawati enam kawasan untuk bertemu masyarakat setempat dengan aneka aktiviti yang diaturkan.
Antara tempat yang disinggah dan mendapat sambutan masyarakat pelbagai bangsa ialah pasar,kedai kopi, masjid,pekan Permatang Pauh dan menyaksikan anak-anak muda bermain takraw dan bolasepak.
Kata Ustaz Salleh ketika kunjungannya di Bukit Merah, di tempat kawasan yang padat dengan penduduk cina, sambutan sangat membanggakan di samping 'laungan' semangat menunjukkan tanda dan isyarat awal kejayaan PAS dalam Pilihan Raya Kecil,25 Ogos depan.
Selain itu semangat paling indah bagi Ustaz Salleh apabila isteri tersayang dan lima orang anaknya sentiasa menyokong perjuangan beliau yang merupakan graduan Universiti Malaya dalam Pengajian Islam.
Sambil sembang-sembang santai, Ustaz Salleh kecewa apabila orang mula menyerang Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat dengan tuduhan liar sedangkan yang bertanding dan berdepan dengan calon pihak lawan ialah beliau sendiri.
"Jangan alih perhatian. Saya yang bertanding,kenapa Tok Guru yang diserang?"katanya membayangkan pihak lawan sudah tiada modal untuk menyerang beliau yang pernah menubuhkan sekolah agama persendirian.
Beliau dalam pada itu turut menasihati ramai tidak kira pihak lawan mahupun para penyokong PAS dan Pakatan Rakyat supaya mengutamakan kesihatan sekaligus mengambil langkah berjaga-jaga yang diarahkan oleh Kementerian Kesihatan bagi mencegah penularan wabak Influenza A H1N1.
Tidaklupa katanya,bermunajatlah kepada Allah sentiasa supaya dilindungi penyakit yang menggerunkan ini.
"Maaf...saya ada 8 ceramah kelompok malam ini..jadi nak siap-siap dulu ya,"katanya merendah diri sambil tersenyum lalu,tanpa membuang masa kami pun berundur diri tatkala melihat jam sudah menunjukkan pukul 9.00 malam.
Hampir setengah jam kami menemuramah sedangkan masa yang diberikan pada awalnya oleh pihak urusetia hanyalah 10 minit sahaja, namun kerana melihat kerancakan penuh semangat Ustaz Salleh,lalu terlajak melampaui masa.
Akhir kata beliau berharap para pengundi membuat keputusan yang bijak dan supaya aspirasi dan legasi Pak Hamdan dapat diteruskan katanya mengakhiri perbualan dengan penuh adab sederhana. _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan