Selasa, 4 Ogos 2009

Kapal ditawan lanun dibebas

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Kapal tunda milik syarikat Malaysia bersama 11 anak kapal warga Indonesia yang ditawan lanun Somalia di perairan negara itu lebih tujuh bulan lalu dilaporkan sudah dibebaskan malam kelmarin.

Sumber memberitahu Berita Harian, kapal tunda MT Masindra 7 itu hanya dibebaskan kelmarin, walaupun dikatakan wang tebusan berjumlah AS$600,000 (RM2.1 juta) diserahkan akhir Jun lalu.

“Bayaran dibuat pada akhir Jun lagi dan jumlahnya dalam mata wang Amerika Syarikat, ” katanya.

Bagaimanapun tidak dipastikan sama ada pemilik kapal tunda berkenaan turut membuat bayaran wang tebusan tambahan selepas itu.

Berita mengenai pembebasan kapal tunda itu dilaporkan agensi berita asing yang mengatakan kapal berkenaan ditawan lanun ketika menunda tongkang dari Mukallah, Yaman ke Malaysia. Rampasan itu dikatakan berlaku di luar pantai Yaman pada 16 Disember tahun lalu.

Wakil East African Seafarer’s Association, Andrew Mwangura dipetik Reuters berkata kapal itu dibebaskan sejumlah pampasan dibayar dan semua anak kapal selamat.

“Kapal tunda itu sedang bergerak ke kawasan perairan yang selamat,” katanya.

Pada Ogos tahun lalu, MT Bunga Melati 2 yang membawa minyak sawit belayar dari Dumai, Sumatera, Indonesia ke Rotterdam, Belanda dengan anak kapal membabitkan 29 warga Malaysia dan 10 warga Filipina dirampas lanun di perairan Teluk Aden, antara Somalia dan Yaman.

MT Bunga Melati 5 pula yang membawa bahan petrokimia dari Yanbu, Arab Saudi ke pelabuhan Singapura dengan 41 anak kapal termasuk 36 warga Malaysia dan krew penyelenggaraan sementara warga Filipina, dirampas lanun di perairan sama pada 29 Ogos, 10 hari selepas kejadian pertama.

Hasil perundingan termasuk dikatakan membabitkan pembayaran wang tebusan, MV Bunga Melati 2 dibebaskan pada 30 September manakala MV Bunga Melati 5 dibebaskan pada 27 September.

Tiada ulasan: