MSTAR ONLINE
SEGAMBUT – Akibat terlalu percaya kepada rakan isteri dan statusnya yang berasal daripada keluarga VVIP, seorang lelaki ‘berputih mata’ apabila wang berjumlah hampir RM6,000 untuk modal perniagaan beras disonglap suspek.
Mohd Hafiz Othman, 33, berkata suspek ‘kaki putar alam’ dan dipercayai cucu kepada bekas menteri itu dikatakan pandai mempengaruhi mangsa kononnya dia mempunyai hubungan dengan ‘orang dalam’ Lembaga Padi dan Beras negara (Bernas) dan akibat terlalu percaya dia sanggup mengeluarkan model sebanyak RM5750.
Menurut mangsa, dia mengenali suspek melalui isterinya yang berkawan dengan suspek sejak menuntut di sebuah universiti di sini.
“Kami memang tidak syak sebab gaya dia terangkan tentang perniagaan jual beli beras itu memang nampak menguntungkan apatah lagi dia kawan isteri, jadi saya ambil keputusan untuk keluarkan modal,” katanya ketika ditemui semalam.
Kata Hafiz, suspek menjanjikan pulangan yang besar melalui pembelian secara borong dan keuntungan bersih akan diperoleh sekiranya beras-beras yang dibeli terjual dengan menjadikan mangsa sebagai rakan kongsi.
“Saya bersetuju dan membuat pembayaran pertama melalui akaun seseorang untuk ‘projek’ itu sebanyak RM1,600 dan dia kata saya akan dapat pulangan dalam seminggu namun ia tidak berlaku sebelum dia mengarah saya memasukkan wang lagi iaitu sebanyak RM3,850.
“Bagaimanapun suspek masih tidak berpuas hati dan menyuruh memasukkan lagi wang keesokan harinya namun saya hanya mampu memberikannya RM300 kerana sudah tidak mempunyai wang,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan