Rabu, 26 Ogos 2009

Buku Anwar hanya satu fitnah: Dr Hasan

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM – Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali menyifatkan buku bertajuk ‘Siapakah Sebenarnya Anwar? Wirakah...atau petualang bangsa & negara’ yang ditemui di kawasan Pilihan raya Kecil Dewan Negeri (DUN) Permatang Pauh, sebagai penulisan ‘bawah tanah’.

Menurut beliau, dalam penulisan perlu ada fakta dan bukti dan pihak yang terlibat dalam penghasilan bukut berkenaan perlu bertanggungjawab terhadap pengedarannya.

“Sama ada ia dibuat orang dalam atau orang luar , saya tidak pasti kerana tidak tahu siapa yang menulis, mencetak dan mengedarnya, namun yang pasti buku itu ada.

“Kalau tujuan buku itu untuk memfitnah, menyebarkan keburukan orang, atau menjatuhkan orang tanpa ada rasa tanggungjawab dan amanah pada setiap kata-kata atau tuduhan yang dibuat, saya rasa, sebaiknya dibakar sahaja buku itu.

Beliau berkata, jika sesuatu tuduhan dibuat, perlu ada tanggungjawab dan perlukan bukti.

“Tidak mungkin buku itu tidak orang yang melakukannya, siapa yang menulis, siapa yang mencetak, siapa yang mengedar, dan siapa yang mendapat keuntungan daripada itu. Kita nak tahu.

“Pada pengalaman saya, jika tebalnya 32 muka surat, kos untuk mencetak sekitar RM2.50, bila dijual tidak tahu berapa harga. Kalau ia percuma, siapa yang menanggung kosnya,” katanya.

Menurut Dr Hasan lagi, buku itu adalah taktik yang digunakan untuk memecahbelahkan dan menjatuhkan kepimpinan Pakatan Rakyat (PR), membunuh semangat perjuangan dan kesepaduan dalam PR, agar mudah untuk musuh-musuh PR masuk dan menguasai PR.

“Saya rasa, ini taktik-taktik yang biasa. Bagi saya, sebagai orang yang terlibat dalam politik, ini bukan satu perkara baru kerana setiap kali ada pilihan raya, isu seperti ini akan timbul.

“Perkara ini bukan berlaku di Malaysia sahaja, seluruh dunia berlaku demikian, hanya agaknya, di tempat lain, mereka lebih bertanggungjawab. Macam kita ni, nama pencetak dan pengedar pun tidak ada, dan bukti-bukti yang nyata juga tidak disertakan,” katanya.

Tambah beliau, sehingga kini, apa yang berlaku di Kedah misalnya, mungkin hanya berlaku di Kedah dan virus itu akan sampai di sempadan kedah sahaja, belum melepasi paras untuk sampai ke Selangor.

“Bagi pihak Pas, saya tidak fikir akan berlaku kes lompat parti, sebab saya tahu hati budi setiap ADUN dan Exco dalam Pas, yang saya pun salah seorang yang bertanggungjawab mencadangkan nama-nama merekam, saya faham siapa mereka sebenarnya,” katanya.

Tiada ulasan: