Sabtu, 1 Ogos 2009

44,643 keluarga miskin tegar akan diberi bantuan

Oleh Azman Mahmood


KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenal pasti 44,643 keluarga miskin tegar di seluruh negara yang akan diberi bantuan dan terbabit dengan program membasmi kemiskinan tegar menjelang 31 Disember 2010.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata daripada jumlah itu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah membuat siasatan terhadap 30,552 keluarga untuk disalurkan bantuan mengikut keperluan termasuk kewangan.

Katanya, kementerian akan memastikan semua golongan miskin tegar yang dikenal pasti menerusi pangkalan data e-Kasih Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri akan diberi bantuan sewajarnya.

“Ketika ini, seramai 11,335 keluarga miskin tegar sudah menerima bantuan JKM menerusi pelbagai skim membabitkan perbelanjaan RM3.4 juta sebulan.

“Bagi 19,217 yang layak menerima bantuan, tetapi tidak termasuk dalam program bantuan JKM, kita akan minta kerjasama agensi lain untuk menyalurkan bantuan.

“Seramai 14,091 lagi keluarga di Sabah dan Sarawak sedang dalam proses siasatan lanjut,” katanya pada sidang media mengenai program pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) ke-4 yang ditetapkan kepada kementerian itu bagi meningkatkan taraf hidup golongan berpendapatan rendah, semalam.

Shahrizat berkata, pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) untuk merangka program melahirkan 4,000 usahawan wanita dalam bidang yang dikenal pasti berdaya maju.

Bagi tujuan itu, kementerian sedang mewujudkan pelan tindakan untuk mencapai sasaran yang turut membabitkan ibu tunggal.

Mengenai bantuan setiap 1 hari bulan mulai 2010, beliau berkata ketika ini 118,000 sedang menerima pelbagai skim bantuan daripada JKM

Tiada ulasan: