Jumaat, 17 Julai 2009

UiTM Lendu ditutup 9 hari


Dua pelajar UiTM Lendu, Melaka, semalam membawa bagasi untuk pulang ke rumah masing-masing selepas universiti tersebut diarahkan tutup selama sembilan hari.


MELAKA - Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Lendu, Alor Gajah dekat sini ditutup selama sembilan hari mulai hari ini sehingga 24 Julai ekoran penularan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) ke atas pelajar yang semakin meningkat.

Sepuluh kes terbaru H1N1 yang dikesan pagi ini melibatkan sembilan penuntut Kampus Lendu telah mendorong Kementerian Kesihatan mengeluarkan arahan petang ini supaya kampus itu ditutup sembilan hari.

Lewat petang ini, sekumpulan kakitangan dari Kementerian Kesihatan dilihat memasuki kampus tersebut dan pergi dari kolej ke kolej untuk memaklumkan mengenai penutupan universiti itu.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati laluan pintu masuk mula sibuk dengan kereta keluar dan masuk apabila ibu bapa mula datang untuk mengambil anak masing-masing.

Tidak kurang pula pelajar yang berjalan kaki membawa beg pakaian dilihat keluar dari kampus sama ada menaiki teksi dan bas untuk pulang ke rumah masing-masing.

Naib Canselor UiTM, Tan Sri Prof. Dr. Ibrahim Abu Shah ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini mengesahkan mengenai penutupan Kampus Lendu yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan petang ini.

Beliau berkata, UiTM akur dengan arahan itu yang dibuat sebagai langkah untuk membendung penularan wabak itu daripada menjadi lebih serius.

"Dengan arahan itu, ibu bapa sudah boleh mengambil anak-anak masing-masing mulai hari ini dan esok," katanya.

Ekoran itu kata Ibrahim, kampus tersebut akan dibuka kepada semua ibu bapa sepanjang tempoh 24 jam untuk mengambil anak masing-masing.

Bagi pelajar yang tinggal jauh dari Melaka pula, beliau berkata, mereka masih dibenarkan untuk menetap di kampus berkenaan.

"Bagi pelajar ini, mereka akan ditempatkan di kolej yang bebas daripada jangkitan wabak ini," katanya.

Mengenai pelajar yang dijangkiti wabak itu, katanya, pihak Kementerian Kesihatan dan universiti telah mengambil langkah yang perlu untuk mengasingkan mereka.

Beliau berkata, keputusan yang diambil oleh Kementerian Kesihatan adalah tepat setelah ibu bapa menghubunginya melahirkan rasa gelisah dengan situasi semasa yang berlaku di kampus tersebut.

Sebelum ini, seramai 13 pelajar telah disahkan positif H1N1.

Tiada ulasan: