Rabu, 15 Julai 2009

Terpengaruh janji manis BN, dakwa wujud politik wang

Roy Rasul


KUALA LUMPUR - Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menyifatkan kemenangan calon PAS Fauzi Abddulah dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Manek Urai semalam, cukup besar ertinya.

Bagaimanapun ujarnya, di samping kemenangan tersebut banyak tanggungjawab yang bakal menanti Fauzi atau panggilan mesra Abe Uji.

Katanya, semasa dihubungi Harakah semalam, harapan rakyat kepadanya semua isu mesti diselesaikan.

Ini katanya, termasuk dalam konteks kebajikan dan juga prasarana serta menjaga kualiti kehidupan rakyat khususnya di Manek Urai.

"Saya rasa ini semua menjadi fokos kepada kepimpinan Abe Uji," katanya yang turut berkampung di Manek Urai.

Sementara itu tegasnya, kemenangan tipis dalam pilihan raya kali ini perlu dikaji dan dijadikan satu cabaran besar kepada PAS bagi memastikan penguasaan di Manek Urai dapat kita dikekalkan pada masa akan datang.

Fauzi berjaya menjadi wakil rakyat pada Selasa lalu setelah beliau menewaskan calon daripada Barisan Nasional (BN), Tuan Aziz Tuan Mat dengan majoriti 65 undi.

Pilihan raya tersebut diadakan setelah penyandangnya, Ismail Yaacob dari PAS meninggal dunia pada 22 Mei lalu.

Sementara itu, Salahuddin berkata, kekalahan tipis PAS di Manek Urai berkemungkinan rakyat di sana terpengaruh dengan janji-janji BN seperti pembinaan jambatan dan beberapa pembangunan yang mereka janjikan.

"Mungkin ini sedikit sebanyak mempengaruhi penduduk luar bandar ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Muslimat PAS, Siti Zailah Mohd Yusuf berkata, walaupun keputusan itu sebagai 'simple majoriti' ia membuktikan rakyat Manek Urai tetap menolak BN.

Malah dakwanya, politik wang yang diamalkan di Manek Urai berleluasa dalam kempen BN.

Dakwanya, sebagaimana diberitahu penduduk ada di antara mereka mendapat antara RM700 hingga RM1500.

"Kita mendapat maklumat daripada pengundi bahawa BN berkempen dengan mengunakan politik wang sehingga pagi hari mengundi," katanya.

Ujarnya, ini menunjukkan apa yang dirancang kerajaan BN untuk menghapuskan politik wang dan rasuah ini tidak berkesan.

Malah bidasnya ia semakin berleluasa digunakan pemimpin-pemimpin Umno untuk berdepan dengan pilihan raya kerana mereka sudah nampak jika tidak menggunakan wang mereka akan kalah.

"Saya lihat rasuah politik wang di zamaa Dato' Seri Najib Tun Razak digunakan dengan berleluasa," dakwanya lagi.

Namun katanya jika dilihat dari sudut kemenangan tersebut rakyat Kelantan tetap menolak BN.

Buktinya beliau berkata apa yang dibuat dengan tawaran serta ugutan meterial, rakyat Kelantan menolak BN malah mereka kenal janji-janji kosong yang dibuat BN.

"Bagaimana janji BN jika menang dia akan membina jambatan tetapi rakyat tidak endah," katanya sambil mengucap syukur dan tahniah kepada semua jentera pilihan raya khasnya Halwa yang bertugas siang dan malam untuk memenangkan PAS. - azm _

Tiada ulasan: