Selasa, 21 Julai 2009

Temui udang ganjil macam ketam

MYMETRO


MELAKA: Seorang warga emas dari Kampung Alai, dekat sini, hairan berikutan penemuan seekor udang berwarna kebiruan bercampur hijau, malah turut mempunyai sepasang sepit seperti ketam.

Wanita terbabit, Minah Wahab, 70, mendakwa udang berkenaan ditemui ketika dia keluar di pintu dapur sebelum ternampak sesuatu agak ganjil apabila seekor udang merayap di simen luar rumahnya kira-kira jam 8 pagi, pada Sabtu lalu.

Menurutnya, keadaan udang ganjil seperti itu sememangnya tidak pernah ditemuinya sejak kecil dan ia menunjukkan tanda kekuasaan Ilahi.

“Apa yang menghairankan, udang berkenaan mempunyai ciri-ciri unik yang dipercayai tidak terdapat pada udang lain yang biasa ditangkap nelayan berikutan ia memiliki sepasang sepit yang sama bentuknya dengan ketam.

“Malah, lebih mengejutkan apabila udang terbabit boleh hidup dalam dua alam iaitu ia tidak mati jika dilepaskan tanpa air sama ada dalam baldi atau di permukaan tanah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Minah berkata, sebaik menemui udang berkenaan, dia terus memanggil cucunya, Sidon Mohd Hatta, 18, untuk mengambilnya di lantai luar rumahnya.

Bagaimanapun, katanya, cucunya tidak berani mengambilnya dengan tangan memandangkan sepit udang berkenaan agak besar dan ia sentiasa dalam keadaan bersedia untuk menyepit jika disentuh atau diganggu.

Justeru, katanya, dia terpaksa menadah baldi manakala cucunya pula menolak udang terbabit dengan penyodok sampah bagi membolehkan ia masuk ke dalam.

“Kira-kira jam 10 pagi, saya keluar ke kedai dan apabila kembali mendapati udang berkenaan masih dalam keadaan baik dan saya pun mengambil keputusan memberinya pada anak saudara, Abdul Ghafar Surip, yang tinggal bersebelahan kerana mempunyai akuarium,” katanya.

Menurutnya, paling menghairankan, kemunculan udang berkenaan tidak diketahui dari mana berikutan kawasan berhampiran rumahnya tidak mempunyai parit, sungai atau paya malah keadaan tanah di situ adalah landai.

“Selama ini memang tiada sesiapa pun di kampung ini menemui udang seumpama itu, malah ramai di kalangan penduduk kampung turut pelik apabila melihatnya,” katanya.

Sementara itu, cucu saudaranya, Zulkifli Dolah, 33, berkata udang berkenaan yang kini disimpan saudaranya diberi makan ikan seluang.

Katanya, udang berkenaan mempunyai ukuran sepanjang kira-kira 20.32 sentimeter dari sepit hingga ekor, manakala sepitnya saja berukuran kira-kira 10.16 sentimeter.

“Yang pelik mengenai udang ini adalah ia mampu hidup walaupun diletakkan di atas lantai rumah, malah ia berjalan seperti ketam selain mempunyai sepit seperti ketam yang tidak pernah kami lihat sebelum ini,” katanya.

Tiada ulasan: