Selasa, 14 Julai 2009

Tambang baru teksi diumum Khamis ini

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Kadar baru tambang teksi akan diumumkan pada Khamis ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Beliau memberitahu, tambang baru itu akan melibatkan tambang permulaan, kadar untuk jarak perjalanan dan tempoh masa untuk ke sesuatu destinasi.

''Tambang baru teksi ini adalah menyeluruh dan akan diumumkan pada Khamis ini, saya tidak mahu mengumumkannya sekarang kerana perlu diteliti semula terlebih dahulu,'' ujarnya.

Nazri berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Kerjasama Teknikal Malaysia Siri 2/2009 di Institut Tadbir Awam Negara (INTAN) di sini hari ini.

Mengenai pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan tambahan kira-kira 3,000 lagi permit teksi individu, beliau memberitahu, permit itu hanya akan diberikan kepada pemandu teksi yang mempunyai rekod yang baik dan telah berkhidmat sekurang-kurangnya selama 10 tahun.

Katanya, kerajaan perlu membuat beberapa peraturan bagi memastikan mereka yang layak sahaja akan mendapat permit teksi itu.

''Pada dasarnya kerajaan hanya akan memberikan permit teksi individu kepada pemandu teksi yang telah berkhidmat selama 10 tahun," katanya.

Tiada ulasan: