PUTRAJAYA – Sistem kupon mungkin diperkenalkan oleh kerajaan untuk membolehkan golongan berpendapatan rendah membeli beras jenis ST15.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar berkata, kaedah itu bertujuan mengelakkan peruncit dan pendatang asing tanpa izin (PATI) membeli beras tersebut sehingga menyebabkan kekurangan bekalan di pasaran.
Menurutnya, kerajaan memberi insentif RM750 kepada pengilang bagi setiap satu tan metrik beras ST15 yang dikeluarkan.
Pada masa sama, kata beliau, kerajaan juga terpaksa membayar subsidi hampir RM30 juta setiap bulan kerana pengeluaran beras 15 peratus hancur itu mencecah 40,000 tan metrik sebulan.
‘‘Ini bermakna sehari lebih RM1 juta subsidi diberikan oleh kerajaan untuk beras ST15 tetapi ramai yang mengeluh tidak memperoleh beras itu kerana PATI dan pengusaha restoran pun beli.
‘‘Justeru, melalui sistem kupon yang mungkin diperkenalkan September ini, kita harap bantuan subsidi ini benar-benar sampai kepada golongan sasar,” katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pelaburan Pertanian Untuk Usahawan dan Syarikat Swasta 2009 anjuran Jabatan Pertanian Persekutuan dan Biro Pertanian dan Industri Asas Tani, Pergerakan Pemuda UMNO di sini hari ini.
Pelaksanaan sistem kupon yang bakal diperkenalkan itu mengambil contoh amalan di Indonesia apabila lebih lapan juta rakyatnya menikmati beras murah daripada subsidi kerajaan.
Noh berkata, melalui sistem tersebut, beliau berharap taktik pemborong yang melakukan perbuatan ‘tukar baju’ atau membungkus semula beras hancur ST15 kepada ST5 dan ST10 untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda dapat dikekang.
‘‘Kita sedang buat kajian macam mana hendak sampaikan kupon ini kepada kumpulan sasar sejajar dengan matlamat rakyat didahulukan,” katanya.
Menurutnya, kementerian akan bekerjasama dengan Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk mendapatkan senarai nama penerima melalui rangkaian e-Kasih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan