Selasa, 14 Julai 2009

Kerajaan timbang elaun khas komando


UTUSAN ONLINE


MERSING - Kementerian Pertahanan mempertimbangkan untuk memberi elaun khas kepakaran kepada anggota komando sebagai menghargai kebolehan, keterampilan, kemahiran dan kemampuan unit elit itu.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara tersebut akan dibawa ke mesyuarat Kabinet bagi mendapatkan maklum balas daripada Jemaah Menteri.

Beliau berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menghargai kemahiran pasukan elit tersebut yang merangkumi tiga pasukan iaitu Pasukan Khas Laut (Paskal), Pasukan Khas Udara (Paskau) dan Gerak Khas.

"Saya akan melihat cadangan tersebut untuk kebajikan mereka yang mempunyai kemahiran khas.

"Saya fikir wajar dipertimbangkan pemberian elaun khas ini supaya ia setimpal dengan kemahiran tertentu seperti ahli profesional yang lain walaupun kerajaan sebelum ini telah memberikan elaun kepada anggota komando," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima Beret Hijau Kehormat Rejimen Gerak Khas di Kem Iskandar, di sini hari ini.

Pegawai dan anggota komando kini menerima elaun antara RM600 hingga RM900 sebulan mengikut tempoh perkhidmatan mereka.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Perbadanan Hal Ehwal Bekas Anggota Tentera (Perhebat) akan memberikan latihan pengurusan kepada pegawai dan anggota komando yang telah menamatkan perkhidmatan mereka.

Tujuan latihan berkenaan, menurutnya, supaya mereka dapat menjalankan tugas berkaitan kemahiran yang peroleh semasa berkhidmat dan mendapat gaji yang setimpal selain dapat berkhidmat dengan jabatan kerajaan, swasta mahupun membuka perniagaan sendiri berteraskan keselamatan.

"Kebanyakan mereka ada yang bekerja sebagai pengawal peribadi dan membuka perniagaan," katanya.

Tiada ulasan: