Selasa, 14 Julai 2009

Istana Lama Seri Menanti diiktiraf istana kayu tertinggi di Malaysia

UTUSAN ONLINE


KUALA PILAH - Istana Lama Seri Menanti di sini mencatatkan sejarah lagi apabila diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai istana kayu tertinggi di negara ini.

Ia pengiktirafan kedua selepas keunikannya yang tidak menggunakan sebarang paku besi tetapi hanya disambungkan menggunakan kayu pasak, sebelum ini diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa Bersatu (UNESCO).

Istana empat tingkat ini dibina pada 1902 dan siap pada 1908 dengan ketinggian lebih 20 meter.

Ia menggunakan 99 batang tiang kayu jenis cengal yang panjangnya 67 kaki (kira-kira 20.5 meter) yang diambil dari Bukit Pergai, Jelebu dan pelan asalnya adalah rekaan dua tukang Melayu, Kahar dan Taib.

Kelmarin, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan melancar dan menerima pengiktirafan terbaru itu daripada Pengarah Urusan MBOR, Datuk Danny Ooi pada upacara perasmian Pesta Adat Perpatih 2009 dan Sambutan 100 Tahun Istana Lama Seri Menanti.

Turut mengiringi baginda, Tunku Ampuan Besar Negeri, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Berangkat sama Undang Luak Jelebu, Datuk Mendika Menteri Akhirul Zaman Musa Wahab; Undang Luak Rembau, Datuk Lela Maharaja Muhamad Sharip Othman; Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan.

Pada upacara sama, Tuanku Muhriz berkenan melancarkan dua buku bertajuk 100 Tahun Istana Lama Seri Menanti dan Jejak Adat Perpatih Luak Jempol.

Seni bina istana lama itu mengambil sempena istana Melayu Minangkabau dengan atapnya melengkung seperti tanduk kerbau dan semakin tinggi tingkatnya, semakin kecil ruangnya.

Ruang paling tinggi di tingkat empat selalunya digunakan oleh raja untuk meninjau aktiviti penduduk di sekitar istana.

Sementara itu, dalam ucapannya, Mat Ali berkata, Istana Lama Seri Menanti pernah menjadi tempat bersemayam Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Ke-7, Tuanku Muhammad Tuanku Antah.

''Sekitar 1960-an, bangunan istana berkenaan dijadikan sekolah agama tinggi dan kini ia lebih dikenali sebagai Muzium Diraja Seri Menanti.

''Istana Lama Seri Menanti sememangnya unik kerana pembinaannya tidak menggunakan walau sebatang paku pun,'' jelas beliau.

Mat Ali berkata, istana lama tersebut merupakan lambang keindahan seni bina masyarakat berketurunan Minangkabau yang berpegang teguh pada adat perpatih di negeri ini.

Tiada ulasan: